PARIS: Peratusan orang dewasa yang menghidap diabetes di seluruh dunia meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga dekad lalu, dengan peningkatan terbesar berlaku di negara membangun.
Penyakit kesihatan serius ini memberi kesan kepada sekitar 14 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di seluruh dunia pada 2022, berbanding hanya tujuh peratus pada tahun 1990, menurut analisis terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal The Lancet, semalam.
Mengambil kira populasi global yang semakin meningkat, kumpulan penyelidik menganggarkan lebih daripada 800 juta orang kini menghidap diabetes, berbanding kurang daripada 200 juta pada 1990.
Angka ini merangkumi kedua-dua jenis utama diabetes iaitu Diabetes Jenis 1, biasanya menyerang pesakit muda dan lebih sukar untuk dirawat kerana ia berpunca daripada kekurangan insulin, manakala Diabetes Jenis 2 pula lebih banyak berlaku dalam kalangan golongan pertengahan usia atau warga emas yang kehilangan kepekaan terhadap insulin.
Walaupun jumlah global menunjukkan trend peningkatan, angka nasional berbeza dengan ketara kerana kadar diabetes kekal sama atau malah menurun di beberapa negara kaya seperti Jepun, Kanada serta negara Eropah Barat iaitu Perancis dan Denmark, menurut kajian tersebut.
“Beberapa negara berpendapatan rendah dan sederhana kini memikul beban yang semakin meningkat akibat diabetes dan diabetes yang tidak dirawat,” kata laporan itu.
Sebagai contoh, hampir satu pertiga wanita di Pakistan kini menghidap diabetes berbanding kurang daripada satu persepuluh pada tahun 1990, manakala India sahaja menampung hampir satu pertiga daripada jumlah tersebut.
Penyelidik juga menekankan obesiti adalah ‘punca utama’ bagi diabetes jenis 2 selain pemakanan yang tidak sihat.
Menurut anggaran penyelidik, tiga daripada lima orang berusia lebih 30 tahun yang menghidap diabetes, iaitu 445 juta orang dewasa, tidak menerima rawatan untuk diabetes pada tahun 2022.
Meskipun terdapat beberapa negara membangun seperti Mexico berjaya dalam usaha merawat populasi mereka, namun secara keseluruhannya jurang global semakin melebar, kata mereka.
“Ini sangat membimbangkan kerana pesakit diabetes di negara berpendapatan rendah cenderung lebih muda, dan tanpa rawatan yang berkesan, mereka berisiko menghadapi komplikasi seumur hidup,” kata pengarang kajian utama, Majid Ezzati dari Imperial College London.
Komplikasi tersebut termasuk memotong anggota badan, penyakit jantung, kerosakan buah pinggang atau kehilangan penglihatan atau dalam sesetengah kes kematian awal,” katanya dalam satu kenyataan.– AGENSI









