ALOR SETAR: Seorang pengawal keselamatan dipenjara 12 bulan dan denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret bagi kesalahan mencuri wang tunai RM200,000, minggu lepas.
Majistret Siti Nurhidayah Mohd. Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhd. Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, yang mengaku bersalah dan disabitkan dengan kesalahan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa secara bersama mencuri wang tunai RM200,000 dalam milikan majikan mereka iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn. Bhd. di sekitar lampu isyarat Taman Kristal, di sini kira-kira pukul 10.34 pagi, 19 November lepas.
Majistret dalam penghakimannya memberitahu, hukuman mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh sebagai seorang yang memikul tanggungjawab terhadap majikannya namun mengingkari amanah itu.
“Hukuman mengambil kira amanah dan integriti yang dikhianati walaupun wang itu dikembalikan selain daripada faktor kepentingan awam sebagai satu pengajaran,” katanya.
Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar wang denda berkenaan.
Terdahulu, tertuduh diwakili peguam Mohd. Khairul Afizuddin Ramli memohon hukuman diringankan kerana mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung anak kepada seorang kakak yang kudung kaki dan perlu menjalani dialisis.
Kelmarin, tertuduh bersama dua rakan sekerjanya, Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, dihadapkan ke mahkamah sama bagi kesalahan tersebut, bagaimanapun mereka mengaku tidak bersalah dengan pertuduhan tersebut.
Akhbar sebelum ini melaporkan hasrat tiga pengawal keselamatan untuk berjoli dengan wang majikan berjumlah RM200,000 selepas mereka cerita kononnya hilang dilarikan penyamun, tidak kesampaian apabila mereka ditahan.










