GUA MUSANG: Seorang penduduk di Kampung Batu 14 di sini mengambil inisiatif membina ‘menara tinjau’ menggunakan kayu dan zink terpakai bagi memantau paras air Sungai Galas semasa banjir.
Mohamad Othman, 53, berkata, idea itu kerana kawasan kampungnya tidak mempunyai kemudahan siren kecemasan bagi memantau limpahan air Sungai Galas.
“Saya buat binaan ini sejak setahun lalu, sebagai persediaan memantau paras sungai dan menyelamatkan barangan berharga.
“Binaan setinggi lima meter ini turut berperanan sebagai tempat untuk menyimpan barang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohamad memberitahu, setiap tahun dia turut menyediakan kemudahan rumah rakit bagi menyimpan barangan berharga seperti peralatan elektrik.
Katanya, sebanyak RM3,000 dibelanjakan bagi tujuan tersebut kerana bimbang banjir besar seperti pada tahun 2014 berulang tahun ini.
“Kampung Batu 14 mempunyai seramai 14 buah keluarga dan kami sudah membuat persiapan seperti loteng, rumah rakit dan bot sebagai menghadapi banjir tahun ini,” katanya.










