MELAKA: Pencemaran berterusan Sungai Lereh di sini bukan sahaja menjejaskan hidupan sungai seperti ikan dan udang galah di kawasan itu, malah turut mengancam kelestarian alam sekitar yang mana selain bau busuk, ia juga tersebar hingga ke lautan.
Ahli biologi marin dan pemuliharaan lautan dari Sepanyol yang juga penduduk di Lereh, Maria Marcos, 38, berkata, pemantauannya sepanjang bulan ini mendapati pencemaran dilihat kerap berlaku pada setiap Ahad.
Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan lebih drastik terhadap sebuah syarikat konsesi pengendali Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang dipercayai menyebabkan pencemaran berkenaan.
“Saya boleh sifatkan pencemaran Sungai Lereh sangat teruk kerana air sungai menjadi hitam dan berbau busuk. Pencemaran ini tersebar hingga ke laut. Kadang-kadang saya lihat ada bangkai binatang seperti lembu dan sering kali lihat ikan mati.
“Adalah menjadi tanggungjawab sebagai rakyat untuk bertindak sebagai mata pihak berkuasa supaya mereka dapat menangani jenayah alam sekitar yang berbahaya bukan sahaja kepada kesihatan kita, tetapi juga ekosistem di sekeliling kita.
“Sebagai ahli biologi marin, saya mesti tekankan bahawa alam semula jadi perlu dijaga dan mengelak daripada berlakunya sebarang pencemaran yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, kerajaan negeri akan merujuk syarikat konsesi terlibat yang dipercayai menyebabkan pencemaran Sungai Lereh kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan lanjut.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, tindakan tegas itu diambil selepas syarikat berkenaan berulang kali melakukan kesalahan sama, meskipun telah dikompaun beberapa kali.
Sementara itu, seorang penduduk, Sulaiman Baba, 70, berkata, pencemaran sungai sudah berlarutan terlalu lama dan perlu dinoktahkan segera.
“Dahulu lagi kita sudah cakap, pencemaran sungai ini berpunca dari Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang tetapi tiada siapa ambil peduli.
“Saya harap tindakan tegas akan diambil oleh kerajaan negeri termasuk aduan dibuat ke KPKT adalah wajar,” katanya. – UTUSAN











