Paderi didakwa bunuh, sorok mayat ibu dalam peti sejuk - Utusan Malaysia

Paderi didakwa bunuh, sorok mayat ibu dalam peti sejuk

ANGGOTA polis mengiringi N Deanesh yang menghadapi tuduhan membunuh dan menyorokkan mayat ibunya di dalam peti sejuk beku di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang paderi sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh ibunya dan menyimpan mayat wanita itu dalam peti sejuk beku, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada penga­kuan direkodkan daripada tertuduh, N. Deanesh, 53, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohammed @ Mohamad Said kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Deanesh didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian ibunya, Catherine Daniel, 80, di sebuah rumah di Taman OUG Brickfields di sini antara 1 hingga 26 Mac 2021.

Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal manakala tertuduh tidak diwa­kili peguam.

Mahkamah tidak memberikan sebarang ikat jamin dan menetapkan 7 Februari depan bagi sebutan semula kes sementara menunggu mendapatkan laporan perubatan, bedah siasat dan asid deoksiribonukleik (DNA).

Pada 12 November lalu, media melaporkan perbuatan lelaki itu terbongkar selepas kediamannya diperiksa pasukan polis yang menerima panggilan daripada suspek kira-kira pukul 9 pagi.

Difahamkan, suspek menghubungi talian kecemasan kerana tidak sihat dan pasukan yang tiba dimaklumkan mengenai mayat ibunya disimpan dalam peti sejuk beku.

Menurut sumber, suspek mendakwa membunuh wanita berusia 80-an itu pada 2021.

Suspek mendakwa menghadapi masalah kewangan apabila kehabisan wang simpanan selain mempunyai masalah kesihatan kronik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN