Megawati bimbang amalan manipulasi demokrasi dalam pilihan raya

Megawati bimbang amalan manipulasi demokrasi dalam pilihan raya

MEGAWATI SOEKARNOPUTRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Bekas Presiden Indonesia, Megawati Soekarnoputri menegaskan bahaya jika pilihan raya umum (Pemilu) termasuk pilihan raya wilayah (Pilkada) serentak 2024, dimanfaatkan sebagai alat untuk mengekalkan atau merebut kuasa.

Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu berpandangan, amalan demikian boleh merosakkan intipati demokrasi yang sepatutnya berpihak kepada rakyat.

“Pilkada adalah cerminan tamadun negara. Dalam Pilkada ini, saya selalu mengatakan bahawa suara rakyat adalah suara Tuhan, vox populi vox dei.

“Ungkapan bijak ini menekankan betapa bahayanya jika pemilihan hanya digunakan sebagai alat kekuasaan,” kata Megawati, semalam.

Beliau menegaskan, pilihan raya mesti menjadi wadah untuk rakyat menggunakan hak mengundi dalam memilih pemimpin.

Megawai berkata, setiap warganegara wajib melaksanakan haknya tanpa campur tangan pihak tertentu.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemerdekaan Indonesia mengandungi semangat pembebasan daripada pelbagai bentuk penjajahan, termasuk dalam melaksanakan hak mengundi secara bebas dan mengikut hati nurani.

“Dengan kemerdekaan, rakyat Indonesia mempunyai kedaulatan untuk bergaul, berkumpul dan memberikan pendapat secara bebas mengikut hati nurani mereka,” katanya sambil menekankan kepentingan menjaga integriti pilihan raya sebagai manifestasi kedaulatan rakyat dalam memilih pemimpin.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan ketika ini kedaulatan rakyat dimanipulasi oleh pihak tertentu demi merebut kuasa.

“Pada 2004, sebagai Presiden Republik Indonesia, saya mengadakan pilihan raya langsung yang pertama.

“Dalam pilihan raya itu, rakyat benar-benar berdaulat, jadi mengapa kedaulatan rakyat kini dimanipulasi hanya kerana kuasa?,” katanya.

Megawati kemudian meluahkan kebimbangan terhadap amalan manipulasi demokrasi yang berlaku dalam pilihan raya.

“Sebab masalah ini boleh menjadi ancaman serius kepada sistem demokrasi Indonesia dan juga masa depan bangsa.

“Saya sangat bimbang perkara ini akan berterusan, oleh itu saya bertanya, di manakah hak dan keadilan serta kedaulatan seluruh rakyat Indonesia yang dicintai?,” katanya.– KOMPAS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×