Malaysia kutuk ujian peluru berpandu Korea Utara – PM

Malaysia kutuk ujian peluru berpandu Korea Utara – PM

ANWAR Ibrahim mengadakan pertemuan dengan seorang daripada pemimpin perniagaan semasa melakukan lawatan rasmi di Seoul, Korea Selatan, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengutuk keras ujian peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Korea Utara pada 31 Oktober lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketegasan tersebut berteraskan prinsip memelihara keamanan serantau dan tidak bertolak ansur terhadap cubaan mencetus ketidakstabilan.

“Oleh kerana jaringan keselamatan Korea dan rantau ini, kita telah mengecam Korea Utara yang melancarkan peluru berpandu balistik pada 31 Oktober lalu kerana mengancam kese­lamatan.

“Kita ambil pendekatan bahawa setiap negara mempunyai hak untuk mengadakan apa-apa program pertahanan mereka, tetapi tidak berhak untuk mencetus provokasi dan ketegangan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar tertutup bersama wakil media Malaysia di Seoul, Korea Selatan, semalam.

Anwar mengakhiri lawatan kerja di Korea Selatan yang bermula sejak Ahad lalu dengan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut menyertai delegasi adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan para pegawai kanan kerajaan Malaysia yang lain.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang terbang selama 86 minit, penerbangan terpanjang yang direkodkan oleh ICMB dan lebih 1,000 kilometer (621 batu) sebelum jatuh ke perairan pantai timur, kata tentera Korea Selatan.

Pelancaran itu berlaku ketika hubungan antara kedua-dua negara semakin merosot.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap wawasan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol untuk menyatukan Semenanjung Korea.

Jelasnya, pendirian tersebut disambut baik oleh Suk Yeol semasa dizahirkan dalam pertemuan kedua-dua pemimpin pada Isnin.

“Presiden Suk Yeol mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kita yang memberi dokongan kepada dia untuk bergerak ke arah penyatuan Korea. Daripada permusuhan dan perbalahan, lebih baik mereka bergerak ke arah penyatuan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, sebanyak RM32.8 bilion potensi pelaburan diraih Malaysia selepas Perdana Menteri melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan.

Anwar berkata, lawatan kerja itu juga menyaksikan persetujuan eksport dari Malaysia bernilai RM1.3 bilion.

Kata beliau, Malaysia dan Korea Selatan memberikan penekanan kepada pembangunan industri halal secara menyeluruh selain memberi tumpuan kepada industri-industri baharu.

“Setakat ini potensi pela­buran ialah RM32.8 bilion, dengan eksport dari Malaysia mencecah RM1.3 bilion. Halal memang diberikan penekanan. Saya dan Presiden Suk Yeol memberikan penekanan kepada industri halal.

“Bukan sahaja pensijilan, tetapi industrinya. Sama ada kita import, dan banyak juga kita eksport. Menarik kerana barangan halal itu bukan sahaja diterima baik oleh orang Islam di Korea, bahkan rakyat Korea secara umum,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, pertemuannya dengan Suk Yeol bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala tetapi turut mengangkat martabat negara melalui penghargaan yang dizahirkan oleh

Presiden Korea Selatan terhadap sokongan ditunjukkan Malaysia dalam isu berkaitan Semenanjung Korea.

“Presiden Suk Yeol mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kita yang memberi dukungan kepada dia untuk bergerak ke arah penyatuan Korea. Daripada permusuhan dan perbalahan, lebih baik mereka bergerak ke arah penyatuan,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu turut memaklumkan sempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) oleh Korea Selatan, satu festival muzik akan diadakan pada Jun 2025.

“Malaysia akan mempengerusikan ASEAN dan Republik Korea akan menyelaraskan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Jurang masa agak dekat. Sebaik selesai ASEAN, semua (pemimpin) akan bertolak ke Seoul untuk APEC.

“Maka beberapa kerjasama dan perbincangan akan diadakan. Kita juga tingkatkan kerjasama melalui Festival Muzik Korea-ASEAN pada Jun 2025, dengan kerjasama pemerintah Korea dan ASEAN,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×