Makin ramai tidak mahu berkahwin

Makin ramai tidak mahu berkahwin

KADAR perkahwinan di negara ini menurun 12.5 peratus kepada 188,100 pada 2023 berbanding 215,022 pada 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar perkahwinan di negara ini menurun 12.5 peratus kepada 188,100 pada 2023 berbanding 215,022 pada 2022.

Ini menambahkan lagi kebimba­ngan kepada pengurangan kadar kelahiran yang bakal menyebabkan negara kekurangan sumber manusia pada masa depan.

Penurunan ini menyebabkan Kadar Perkahwinan Kasar (CMR) menurun da­ripada 6.6 kepada 5.7 bagi setiap 1,000 penduduk.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perkahwi­nan orang Islam menyum­bang seba­nyak 74.5 peratus daripada keseluruhan perkahwinan di negara ini.

Namun katanya, peratusan orang Islam yang tidak berkahwin juga lebih tinggi iaitu meningkat kepada seba­nyak 16.8 peratus pa­da 2023 atau 140,176 orang berbanding 2022 atau 168,467.

“Terdapat tiga negeri menunjukkan penurunan tertinggi perkahwinan dalam kalangan orang Islam, iaitu Selangor sebanyak 5,674 (17.4 peratus), diikuti Kelantan 3,595 (17.7 pe­ratus) dan Johor 3,249 (15.8 peratus).

“Sebaliknya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam merekodkan peningkatan 2.9 peratus daripada 46,555 (2022) kepada 47,924 (2023).

Tiga negeri yang menunjukkan peningkatan perkahwinan orang bukan Islam adalah Johor dengan 1,154 (20.1 peratus) diikuti Sarawak 920 (10.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan 287 (8.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, keseluruhan kadar perkahwinan am bagi lelaki menurun daripada 45.4 pada 2022 kepada 38.2 (2023) bagi setiap 1,000 penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin. 

Menurutnya, trend sama bagi pengantin perempuan merekodkan penurunan daripada 47.2 pada 2022 kepada 40.5 (2023) bagi setiap 1,000 penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

“Selari dengan penurunan keseluruhan bilangan perkahwinan, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki Islam juga menurun daripada 57.2 pada 2022 kepada 45.8 (2023) manakala kadar perkahwinan am bagi pengantin perempuan Islam menurun kepada 48.3 pada 2023 berbanding 59.0 pada (2022).

“Bagi orang bukan Islam, kadar perkahwinan am pengantin lelaki meningkat daripada 27.3 pada 2022 kepada 27.5 (2023).

“Namun begitu, pengantin perempuan bukan Islam menunjukkan penurunan daripada 26.0 pada 2022 kepada 25.8 (2023),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada 2023, 6.2 peratus daripada jumlah perkahwinan adalah antara pengantin lelaki dan perempuan yang berbeza kumpulan etnik.

“Bilangan perkahwinan antara etnik meningkat 28 peratus daripada 14,028 pada 2022 kepada 17,956.

“Komposisi perkahwinan antara etnik bagi orang Islam adalah 48.8 peratus manakala orang bukan Islam 51.6 peratus,” jelasnya.

Tambah beliau, umur penengah pengantin lelaki dan pengantin perempuan masing-masing kekal pada umur 28 dan 26 tahun.

Malah, perkahwinan tertinggi juga direkodkan pada kumpulan umur 25 hingga 29 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

Statistik juga menunjukkan umur pengantin lelaki dan perempuan paling tua direkodkan pada 2023 masing-masing berumur 91 dan 86 tahun.

Sementara itu, 0.1 peratus pengantin lelaki berumur 65 tahun dan lebih telah mengahwini pengantin perempuan yang lebih muda dalam kumpulan umur 24 tahun dan ke bawah.

Mohd. Uzir menjelaskan, daerah Petaling, Selangor mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi bagi orang Islam dan orang bukan Islam pada 2023.

“Bilangan perkahwinan orang Islam di Petaling adalah 7,718 diikuti Johor Bahru, Johor (6,773) dan Ulu Langat, Selangor (5,288),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN