PETALING JAYA: Lawatan sulung Perdana Menteri ke Peru menghasilkan peluang eksport bernilai RM1.24 bilion khususnya melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat di Peru menunjukkan minat terhadap produk buatan Malaysia seperti bahan binaan berasaskan keluli dan kaca, peralatan dan produk perubatan, minyak sawit, bahan kimia serta produk makanan dan minuman.
“Kami akan melakukan tindakan susulan terutama dalam aspek kerjasama logistik dan pelabuhan untuk memudahkan proses eksport antara kedua-dua negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Minggu Pemimpin Ekonomi (AELW) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru.
Beliau juga mengadakan pertemuan dengan 22 pemimpin perniagaan mewakili 17 syarikat Peru yang terbabit dalam pelbagai industri termasuk farmaseutikal, bahan binaan, produk berasaskan kimia dan makanan kesihatan.
Setakat ini, syarikat Peru mengimport barangan bernilai RM435.27 juta (AS$95.44 juta) dari Malaysia.
Dari sudut pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sudah mengenal pasti tujuh syarikat Peru yang berminat untuk melabur di Malaysia dengan fokus utama adalah sektor pemprosesan makanan, perkhidmatan logistik bersepadu, dan farmaseutikal.
“Kerajaan komited memastikan semua peluang pelaburan dan perdagangan ini dapat direalisasikan segera bagi kebaikan bersama,” katanya.
Lawatan itu turut disertai 16 syarikat Malaysia termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang menyertai sesi perbincangan meja bulat dengan pemimpin industri Peru.
Langkah berkenaan membuka ruang kepada kerjasama baharu dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.
Di sela-sela mesyuarat APEC, Perdana Menteri turut mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, New Zealand dan Brunei.
Pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah membuka peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk menilai kemajuan dalam kerjasama yang terjalin bagi kedua-dua negara termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.
Perdana Menteri kemudian dijadual mengadakan lawatan kerja ke Rio de Janeiro, Brazil bermula semalam hingga 19 November bagi menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, kehadiran Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak Pemimpin G20 adalah atas jemputan Presiden Brazil, Inácio Lula da Silva yang mencerminkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brazil.
Anwar juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin dari Negara Anggota Kumpulan G20 untuk membincangkan isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.
“Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Brazil, untuk membincangkan kerjasama dua hala termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, serta industri semikonduktor dan juga bagi mengukuhkan lagi persahabatan antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin itu juga akan berkongsi pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala termasuk ASEAN, BRICS dan G20.
“Anwar juga akan mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Brazil bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor minyak dan gas serta teknologi digital,” katanya. – UTUSAN











