KUALA NERUS: Kecemerlangan akademik dan penglibatan aktif dalam kokurikulum melayakkan Khairil Harfirion Tan Muhammad Asmawi Tan, 24, terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Kecemerlangan Alumni (AKKA) dalam majlis konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ke-16 kali ini.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin Dengan Kaunseling itu menerima RM1,000 yang disalurkan ke akaun Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dan cenderamata bernilai RM500.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, semua pengorbanan dan susah payah dihadapi sepanjang pengajian berbaloi apabila dipilih sebagai penerima anugerah tersebut.
“Cabaran paling besar bagi saya ialah hendak membahagikan masa antara tugasan akademik dan penyertaan dalam kokurikulum.
“Selain itu, saya juga pernah membuat kerja sambilan untuk mencari pendapatan bagi menampung perbelanjaan di kampus kerana saya bukan dari keluarga yang senang.
“Alhamdulillah, saya mendapat tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan majlis konvokesyen hari ini adalah hadiah paling bermakna buat ayah, Muhammad Asmawi Tan Abdullah, 65 dan ibu, Teh Senik, 53 untuk semua doa mereka,” katanya ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau adalah antara 2,818 graduan yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma dalam konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula Ahad lalu.
Sepanjang pengajian, beliau pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan deklamasi sajak sempena program Bulan Kemerdekaan Peringkat Permata Kebangsaan dan menjadi ahli jawatankuasa Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT). – UTUSAN







