TEL AVIV: Pihak berkuasa Israel menggesa penyokongnya tidak menghadiri perlawanan bola sepak antara Israel dan Perancis, yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ini di Paris.
Gesaan itu susulan insiden keganasan di Amsterdam selepas perlawanan antara kelab Israel, Maccabi Tel Aviv dan kelab Belanda, Ajax.
Pertembungan di Paris itu akan berlangsung seminggu selepas berlakunya rusuhan yang disifatkan sebagai ‘anti-Semitik’ oleh pemimpin Israel, Belanda dan Eropah susulan perlawanan itu.
Insiden tersebut menyaksikan lebih 20 orang mengalami kecederaan.
Majlis Keselamatan Negara Israel dalam satu kenyataan semalam, menggesa rakyatnya supaya mengelakkan daripada menghadiri acara sukan atau kebudayaan melibatkan warga Israel, terutama perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan Israel di Paris.
“Beberapa kumpulan yang berpotensi untuk mencederakan warga Israel dikenal pasti di beberapa bandar Eropah termasuk Brussels, bandar-bandar utama di UK, Amsterdam dan Paris, menjelang perlawanan pasukan kebangsaan Israel tersebut,” kata kenyataan itu.
Majlis itu turut mengingatkan rakyat Israel di luar negara agar tidak mempamerkan identiti mereka berketurunan Israel atau Yahudi.
Sementara itu, Ketua Polis Paris, Laurent Nunez menganggap perlawanan antara Perancis dan Israel itu sebagai berisiko tinggi dan berkata seramai 4,000 anggota keselamatan akan ditempatkan di stadium, pengangkutan awam dan di sekitar ibu kota Perancis.
Pihak berkuasa Israel juga mengeluarkan amaran kepada peminat agar tidak menghadiri perlawanan bola keranjang kelab Maccabi Tel Aviv di Bologna, Itali pada Jumaat lepas, meskipun ia berjalan lancar tanpa sebarang insiden.- AGENSI











