IIM perlu jadi rujukan utama isu integriti

IIM perlu jadi rujukan utama isu integriti

FADILLAH Yusof (duduk, tengah) bersama warga Institut Integriti Malaysia (IIM) dan agensi-agensi yang memeriahkan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 di Kuala Lumpur, semalam. UTUSANFAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Institut Integriti Malaysia (IIM) diperluaskan peranan dan diperkukuhkan kedudukan sebagai pusat rujukan utama isu berkaitan integriti di peringkat nasional. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sejak penubuhannya 20 tahun lalu, IIM memainkan peranan amat signifikan dalam memupuk kesedaran dan memantapkan amalan integriti di negara ini. 

Menurutnya, pelbagai program, latihan dan kajian dilaksanakan IIM memberi impak besar kepada sektor awam, swasta dan masyarakat secara keseluruhannya. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, peranan IIM perlu diperluas dan kedudukannya harus diperkukuh berikutan cabaran yang semakin kompleks dan mendesak dalam isu tadbir urus, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. 

“Sebagai negara yang ingin melangkah maju dengan tatakelola baik dan telus, kita memerlukan institusi bukan sahaja berfungsi sebagai pemangkin tetapi juga pemimpin dalam pembangunan integriti. 

“IIM perlu diperkasakan sebagai pusat kepakaran yang menyediakan panduan dan sokongan kepada agensi kerajaan, swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan amalan integriti diterapkan dengan konsisten dan berkesan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena majlis pelancaran Sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 di sini, semalam. 

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, IIM perlu terus memainkan peranan utama dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan, khususnya dalam konteks pembaharuan tadbir urus, pencegahan rasuah dan peningkatan akauntabiliti di semua sektor. 

“Saya percaya IIM mampu menjadi pusat rujukan yang bukan sahaja diiktiraf di peringkat nasional tetapi juga antarabangsa. 

“Kerajaan akan terus memastikan sumber daya dan tenaga yang diperlukan dapat disalurkan bagi memaksimumkan keberkesanan IIM,” ujarnya. 

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam berkata, beliau percaya IIM mempunyai potensi untuk berkembang sebagai sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan integriti yang komprehensif berdasarkan pengalamannya selama dua dekad bagi menangani isu berkaitan integriti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×