Hampir separuh korban banjir dahsyat Sepanyol warga emas

Hampir separuh korban banjir dahsyat Sepanyol warga emas

TIMBUNAN kenderaan yang diselaputi lumpur selepas dihanyutkan banjir kilat di jalan Paiporta, kawasan Valencia, timur Sepanyol.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VALENCIA: Hampir separuh daripada 216 orang yang diketahui maut dalam bencana banjir besar yang melanda wilayah Valencia, timur Sepanyol pada akhir Oktober, berusia 70 tahun ke atas.

Angka daripada pusat integrasi data yang ditubuhkan selepas bencana itu menunjukkan, 131 mangsa adalah lelaki, 85 wanita dan 104 berumur lebih 70 tahun, termasuk 15 lagi berusia lebih 90 tahun.

Sembilan kanak-kanak turut terkorban akibat banjir yang disebabkan oleh hujan lebat, dengan beberapa kawasan di Valencia menerima jumlah hujan setahun dalam tempoh beberapa jam.

Memuatkan artikel berkaitan…

26 daripada mangsa yang terkorban adalah warga asing dari 11 negara berbeza, termasuk dua rakyat Britain.

Secara keseluruhan, 224 orang terkorban dalam banjir tersebut, 216 di antaranya di Valencia, tujuh di wilayah jiran Castilla-La Mancha dan seorang di Andalucia.

Angka yang dikumpul oleh pegawai sains forensik dari Guardia Civil dan pasukan polis negara, juga mendedahkan penempatan mana yang paling banyak kehilangan nyawa.

Di bandar Paiporta – yang menjadi tempat protes kemarahan semasa lawatan raja dan permaisuri, perdana menteri serta presiden wilayah Valecia lima hari selepas bencana – jumlah kematian adalah 45 orang.

Di perbandaran berhampiran Catarroja, jumlah korban ialah 25; di bandar Valencia, 16; di Alfafar, 15; di Massanassa (11) dan di Benetusser, Torrent serta Picanya, masing-masing 10 orang.

Manakala di bandar Utiel dan Chiva, jumlah kematian adalah kurang daripada 10 orang.

Penduduk di Utiel, termasuk Datuk Bandarnya, menyatakan mereka yang terkorban kebanyakan adalah warga emas atau individu yang mempunyai masalah mobiliti.

Kebimbangan terhadap risiko banjir dahsyat di Valencia kembali timbul selepas pejabat meteorologi negara Sepanyol, Aemet, mengeluarkan amaran cuaca merah untuk wilayah itu pada malam Rabu.- THE GUARDIAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN