KUALA LUMPUR: Bukan mahu menegakkan benang yang basah, namun selebriti usahawan sensasi, Datuk Seri Vida, menganggap kemenangan syarikat kontraktor pembinaan, Ah Design Communication yang mendakwa dia gagal melunaskan bayaran sebanyak RM1,060,285 pada tahun 2018 adalah bersifat sebelah pihak.
Menurut Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman, 53, syarikat terbabit telah menggunakan kaedah ex parte dalam membuat tuntutan di mahkamah yang menyaksikan jaminan kemenangan mudah mampu diraih mereka secara sebelah pihak.
“Ini berkenaan ex parte dan kita pun tidak tahu bila mereka buat (permohonan). Saya hanya tahu semasa mereka datang ke kediaman dan menyita harta saya.
“Saya tidak diberitahu langsung. Bila saya cakap tak tahu ini, orang akan cakap saya tak ambil peduli, tetapi memang saya betul-betul tak tahu.
“Apabila menggunakan kaedah ex parte, memang mereka boleh menanglah sebab ia bersifat sebelah pihak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Vida mendedahkan, syarikat yang membuat dakwaan tersebut merupakan kontraktor yang sama kononnya telah melantik konsultan bagi menguruskan perkara ini.
“Mereka yang buat tuntutan ini adalah ‘sub con’ yang tuntut dari kontraktor terbabit. Kononnya kontraktor sudah melantik konsultan tetapi mereka adalah pihak yang sama cuma menggunakan syarikat yang berbeza.
“Ingin saya maklumkan, sebenarnya saya sudah buat separuh bayaran awal kepada pihak tersebut tetapi kerja-kerja tetap tidak disiapkan. Itu pun mereka nak tuntut lagi daripada saya? Kerja pun tak siap.
“Bayaran saya buat itu tidak dianggap sebagai pendahuluan sebab ia bukan 10 atau 20 peratus bayaran. Tetapi setengah daripada kos sudah saya jelaskan pada mereka,” katanya.
Vida tidak menolak isu yang berlaku ini mengganggu fikirannya termasuk anak-anaknya.
“Tentulah perkara ini mengganggu fikiran saya. Anak-anak juga risau dengan keadaan saya. Tetapi nak buat macam mana, inilah ujian yang saya terima, dugaan berniaga.
“Saya anggap Allah mahu berikan saya sesuatu yang lebih indah. Saya juga akan berbincang dengan peguam berhubung isu ini namun untuk mengadakan sidang media, kena tunggu saya pulang ke Malaysia dahulu.
“Sekarang saya di Shanghai, China, tetapi selepas ini saya akan terus ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah,” katanya.
Terdahulu, empat kereta yang disita ialah dua Vellfire, satu Toyota Grand Hiace dan sebuah BMW X7, selain semua barangan di dalam rumahnya.
Perintah penyitaan itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Ipoh, Anis Hanini Abdullah selepas membenarkan permohonan Mohammad Taufik Kamarul daripada Ah Design Communication Sdn. Bhd.
Pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dilakukan pada sekitar 9 pagi, kelmarin di kediamannya.










