SYDNEY: Cef selebriti terkenal, Jamie Oliver mengumumkan tidak akan menjual buku kanak-kanaknya selepas menerima kecaman daripada pengkritik Orang Asli yang menyifatkan karyanya sebagai ‘penghapusan, memperlekeh dan stereotaip’.
Buku Billy And The Epic Escape menceritakan kisah fiksyen sekumpulan rakan yang menghadapi pengembaraan musim panas apabila seorang gadis Orang Asli dalam jagaan keluarga angkat diculik.
Namun, kisah itu mencetuskan kemarahan pengarang Orang Asli dan Perbadanan Pendidikan Orang Asli dan Pulau Selat Torres, yang menggesa buku tersebut ditarik balik, lapor akhbar The Guardian pada 9 November lalu.
Ribuan orang daripada komuniti Orang Asli dan Pulau Selat Torres pernah diambil dari rumah mereka dan diletakkan dalam jagaan keluarga berkulit putih di bawah dasar rasmi secara berterusan hingga tahun 1970-an, yang kini dikenali sebagai Generasi Yang Dicuri.
Oliver, 49, meluahkan kekesalan kerana menyinggung perasaan dan memohon maaf sepenuh hati, lapor The Guardian.
“Bukan niat saya untuk menyalah tafsir isu yang sangat menyakitkan ini. Bersama penerbit saya, kami memutuskan untuk menarik balik buku ini dari pasaran,”katanya.
Sementara itu, menurut jurucakap penerbit, Penguin Random House, mengakui standard penerbitan mereka gagal memenuhi piawaian.
“Kami harus belajar daripada perkara ini dan mengambil tindakan tegas dan kami telah bersetuju bersama pengarang kami, Jamie Oliver, untuk menarik balik buku tersebut dari pasaran.”
Buku berkenaan masih boleh didapati untuk pembelian dalam talian pada 10 November.
Oliver mula terkenal apabila rancangan televisyen, The Naked Chef disiarkan pada tahun 1999, dan sejak itu beliau menerbitkan beberapa rancangan lain serta menerbitkan pelbagai buku masakan.– AFP











