KUANTAN: Seawal pukul 7 pagi, deruman enjin ‘lori hantu’ mula menggegar suasana ladang kelapa sawit di kawasan tanah rancangan Felda disusuli suara riuh rendah pekerjanya menaikkan buah sawit ke atas kenderaan berkenaan.
Suasana itu bukan baharu malah sudah rancak sejak awal 1970-an apabila permintaan pengangkutan meningkat ketika itu berikutan kebanyakan kawasan tanah rancangan Felda mengeluarkan hasil kelapa sawit yang banyak.
Rentetan itu, penggunaan lori hantu di kawasan-kawasan tanah rancangan Felda di negeri ini dan seluruh negara kekal sehingga kini, yang berbeza, hanyalah jenis dan saiz lori yang digunakan.
Jika melihat kepada keadaan lori hantu, ada antara fizikalnya uzur, sebelah lampu depan menyala dan tiada pintu. Namun, enjin kenderaan itu tetap gagah membelah laluan ladang sawit dengan muatan hampir lima tan metrik bergerak ke kilang sawit berdekatan.
Pemandu dan kenderaan ini ‘tidak hairan’ ketika bergerak di jalan utama walaupun keadaan ‘badan’ berbeza daripada kenderaan lain yang sempurna malah tanpa cukai jalan dan insurans, ia tetap setia memberikan perkhidmatan memunggah buah sawit ke kilang.
Biarpun kerap berdepan dengan pihak berkuasa semasa di jalan raya, kenderaan ini tetap tidak lut undang-undang apabila kadangkala tidak bernasib baik kerana disaman pihak berkuasa. Mahu tidak mahu, terpaksa melangsaikan jumlah denda yang tinggi, demi berbakti kepada masyarakat Felda.

Demikian gambaran lori hantu yang sinonim dengan masyarakat Felda dan pengguna jalan raya setiap hari apabila ia mendominasi ladang sawit.
Berderet menjalar di jalan raya memunggah sawit dan paling ketara puluhan kenderaan itu berbaris di hadapan kilang menunggu giliran ditimbang dan menurunkan sawit.
Bagaimanapun, bukan semua lori yang mengangkut sawit di Felda terdiri daripada lori hantu, ada sebilangannya sudah dilengkapi cukai jalan dan insurans malah pemandunya mempunyai lesen kenderaan berat dan lesen memandu kenderaan awam (PSV).
LAMA BERBAKTI
Walaupun ada cerita-cerita negatif tentang perkhidmatan lori hantu, namun kenderaan itu sudah terbukti memberikan perkhidmatan pengangkutan terbaik di Felda kerana tanpanya, para peneroka kemungkinan berdepan masalah untuk menghantar buah sawit ke kilang.
Pengerusi Jawatankuasa Sosial Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sumbangan jentera itu kepada masyarakat Felda sejak awal tahun 1970-an amat besar dan berterusan hingga kini.

“Pembukaan kawasan-kawasan tanah rancangan Felda luas menjadikan perolehan hasil sawit tinggi dan ia menyebabkan permintaan pengangkutan membawa sawit ke kilang, kena pantas bagi mengelakkan buah rosak.
“Waktu itu kebanyakan jalan raya di kawasan Wilayah Jengka dan tempat lain di negeri ini belum berturap tar sepenuhnya, antara punca penggunaan lori hantu. Jalan berdebu ketika kering dan berlumpur selepas hujan pula hanya boleh dilalui lori hantu yang menggunakan winch bagi laluan yang teruk termasuk dalam kawasan ladang.
“Mana mampu lori baharu dan sempurna meredah jalan berlumpur di kawasan ladang sawit serta jalan utama di Wilayah Jengka dan beberapa Felda di negeri ini yang memiliki populasi masyarakat peneroka yang ramai serta keluasan ladang hampir 9,000 kilometer persegi,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Razak yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24 berkata, perkhidmatan lori hantu merupakan nadi utama penghantaran buah sawit ke kilang berdekatan antara jarak lapan hingga 10 kilometer dari tanah rancangan masing-masing memberikan keselesaan peneroka serta memperoleh pulangan pendapatan yang cepat setiap kali pusingan buah sawit dituai.
“Bayangkan hampir 50 tanah rancangan di Wilayah Jengka dan tempat lain di Pahang mengeluarkan hasil serentak, sudah tentu memerlukan perkhidmatan pengangkutan yang banyak dan cepat. Kenderaan sempurna tidak mampu masuk ke ladang sawit yang rata-ratanya masih belum diturap tar, malah tidak sepadan dengan upah apatah lagi kerap berdepan kerosakan,” katanya.
MASIH DIPERLUKAN
Perkhidmatan lori hantu diperlukan sehingga kini walaupun sudah ada lori atau kenderaan sempurna dengan cukai jalan, insurans dan pemeriksaan Puspakom, tetapi masih tidak mencukupi menampung perkhidmatan mengangkut sawit ke kilang.
Beliau turut mencadangkan koperasi di kawasan tanah rancangan Felda menumpukan pengurusan lebih banyak perkhidmatan lori yang lengkap dengan cukai jalan, insurans dan pemeriksaan Puspakom bagi mengurangkan lori hantu pada masa akan datang.
“Lori hantu tidak akan pupus kerana kebanyakan peneroka terus memilih cara ini berikutan kos pengangkutan masih rendah berasaskan kapasiti muatan untuk membayar upah yang rendah,” katanya.
Peneroka Wilayah Jengka, Anuar Maarof, 70, berkata, perkhidmatan kenderaan itu tidak akan berkubur kerana majoriti peneroka tanah tancangan malah dalam kalangan pekebun kecil di luar bandar pun memerlukan kenderaan tersebut menghantar buah ke kilang berdekatan.
“Lori hantu mampu meredah laluan sukar khususnya di ladang sawit yang jarak antara kira-kira lima kilometer dengan jalan utama, tanpa mengira cuaca kerana peneroka menagih perkhidmatan dengan cepat untuk memunggah sawit ke kilang.
“Upah memunggah termasuk buruh mengangkat sawit juga berpatutan menyebabkan lori hantu terus memainkan peranan penting sejak Felda Wilayah Jengka dibuka,” katanya.
Upah lori hantu berbeza, contohnya di Bukit Goh, Kuantan, ia bermula RM80 tetapi kelazimannya kebanyakan peneroka di Wilayah Jengka dikenakan caj RM150 untuk satu tan metrik yang dikira masih berpatutan berasaskan kenaikan harga bahan api diesel.
“Nilai upah tidak sekadar pengangkutan ke kilang tetapi turut membabitkan kos tenaga buruh yang memotong buah serta menaikkan sawit ke atas lori (loading),” katanya.
PENEROKA TIDAK KISAH
Sebuah lori seberat tiga tan akan memunggah antara empat hingga lima tan sawit ke kilang membabitkan dua kali perjalanan sahaja sehari.
Ujar Anuar, dalam kalangan peneroka, mereka tidak kisah dengan upah pengangkutan dan tenaga buruh, yang penting selepas tuaian, buah sawit sampai ke kilang mengikut jadual.
Bagi pemandu lori hantu kawasan Wilayah Jengka yang mahu dikenali sebagai Usin, beliau mengakui kerap terserempak dengan pihak berkuasa, tetapi terpaksa menerima hakikat kesalahan undang-undang jalan raya kerana memandu lori yang tidak cukup lengkap termasuk cukai jalan dan insurans.
“Mahu tidak mahu, kita terpaksa membayar saman atas kesalahan tertentu dan tetap meneruskan pekerjaan ini (memandu) sebagai sumber pendapatan menyara keluarga.
“Pemandu tidak menggunakan laluan (jalan bertar) sepenuhnya, tetapi banyak menggunakan jalan rentas kawasan ladang untuk sampai ke kilang,” katanya.

Perkhidmatan mereka tetap menjadi pilihan peneroka walaupun ada kenderaan lengkap dengan cukai jalan dan insurans sudah masuk ke ladang dan memberi perkhidmatan mengangkut sawit ke kilang.
“Kebanyakan pemilik lori lengkap ini selalu berdepan kerosakan yang memerlukan kos baik pulih kerana laluan dan keadaan fizikal ladang sawit, tidak sesuai dengan kenderaan berkenaan.
“Lori hantu lebih mudah sebab tidak perlu membayar cukai jalan, insurans, pemeriksaan Puspakom, cuma membayar upah baiki bila rosak, malah ada pemilik yang boleh baiki sendiri,” katanya.
PELUANG KERJA
Generasi kedua Felda Lepar Hilir 3, Sharizi Mat Isa berkata, lori hantu memiliki keunikan dan nostalgia dalam kawasan tanah rancangan yang tiada di tempat lain di negara ini.
Katanya, kewujudannya bukan sahaja diwarisi malah sehingga kini mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan generasi muda yang tinggal di tanah rancangan.
“Apa lebih penting, ia terbukti membantu menjana pendapatan peneroka termasuk arwah ayah saya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, Felda perlu syorkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya dapat memberikan kebenaran khas kepada pengusaha-pengusaha pengangkutan kelapa sawit dari ladang ke pusat pengumpulan sawit dan terus ke kilang.
Menurutnya, pengusaha-pengusaha tersebut yang juga dilabelkan sebagai lori hantu terbukti banyak membantu pekebun sawit terutama dalam kawasan tanah rancangan Felda seluruh negara dengan tawaran harga berpatutan.
“Kebanyakan pengusahanya terdiri daripada anak-anak peneroka yang tinggal di rancangan Felda. Mereka sudah lama bergiat dalam aktiviti tersebut untuk menyara keluarga.
“Dengan memberikan kelulusan khas, ia diyakini memberi peluang pekerjaan kepada generasi baharu Felda terutama yang tidak berkelulusan tinggi tapi berminat dengan kerja-kerja mengangkut sawit dari ladang. Mereka kerap menggunakan jalan pertanian dan jalan tersebut sesuai untuk kenderaan mereka,” jelasnya.
Tegasnya, sekiranya kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan memberikan kebenaran khas itu, sudah pasti ia berita yang menggembirakan pengusaha lori hantu khususnya dalam kalangan generasi muda Felda.
“Kebenaran khas secara tidak langsung memberikan jaminan pendapatan buat mereka dan dapat berkhidmat dengan selesa tanpa khuatir ditahan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.










