JOHOR BAHRU: Setiap kali waktu makan, anak bongsu daripada lima beradik, Nur Aisyah Humairah Mohd. Ridzwan, 3, akan memanggil dan mencari ibunya sebelum menangis teresak-esak.
Muhammad Ikmal Danish, 15, berkata, situasi itu membuatkan mereka sekeluarga tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata memandangkan Aisyah masih kecil dan tidak mengerti apa yang berlaku.
Ada masanya sukar untuk mententeramkan adik bongsu mereka itu kerana dia cukup rapat dengan arwah ibunya.
“Setiap kali disuap bubur, Aisyah akan panggil ‘emak.’ Selepas saya pujuk dan jelaskan emak sudah tiada, Aisyah akan menangis. Begitu juga ketika hendak tidurkannya, Aisyah kerap mencari emak, puas saya dan nenek cuba pujuk Aisyah supaya dia tenteram.
“Kakak, Nur Aleesha Aindah Abdullah, 17, dan adik Nur Shahkira, 14, serta Nur Shahmira,12, juga sering teringatkan emak dan ayah, namun mereka cuba untuk tidak tunjukkannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Taman Cendana di sini, semalam.
Sabtu lalu, pasangan suami isteri, Mohd. Ridzwan Mohd. Rudi, 37, dan Linda Mohd. A. Aziz, 35, maut di lokasi kejadian apabila motosikal Honda Vario yang dinaiki mereka dirempuh pemandu mabuk di Jalan Besar/Jalan Mesjid di sini, kira-kira pukul 4 pagi.
Kesemua anak pasangan itu kini dijaga datuk dan nenek mereka, Mohd. Rudi Abdul Rahman, 61, dan Ramlah Kasiran, 56.
Dalam pada itu, Muhammad Ikmal memberitahu, dia mahu melanjutkan pengajian dalan aliran teknik dan vokasional kerana minat dalam kursus penyaman udara. – UTUSAN










