WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris mengkritik Donald Trump ekoran serangannya terhadap tindak balas Persekutuan dalam mengendalikan bencana Taufan Helene dan Milton yang melanda Florida.
Biden secara terbuka menegur calon presiden Republikan itu dan menyifatkan beliau sengaja memanfaatkan bencana tersebut untuk kepentingan politiknya.
Beliau sebaliknya menggesa Trump untuk membantu mangsa yang terjejas taufan berbanding menyebarkan maklumat tidak benar mengenai tindak balas kerajaan Persekutuan.
Kenyataan tersebut dibuat selepas Trump berucap di Detroit Economic Club, ketika beliau menyampaikan rasa simpati kepada mereka yang terjejas Taufan Helene dan Milton, yang melanda Florida pada Rabu lalu.
“Mereka membiarkan mereka yang terkesan menderita dengan tidak adil,” kata Trump yang mempromosikan maklumat palsu mengenai tindak balas Persekutuan.
Ketika bercakap di White House mengenai usaha kerajaan menangani Taufan Milton dan Helene, Biden mengutuk penyebaran maklumat palsu yang tidak bertanggungjawab serta pembohongan terang-terangan bekas Presiden AS itu.
White House dan Biden, menghabiskan masa beberapa hari mengutuk Trump kerana membuat dakwaan palsu mengenai tindak balas bencana, termasuk tuduhan dana Persekutuan dialihkan untuk kegunaan pendatang tanpa izin dan bantuan tersebut dihadkan kepada AS$750 (RM3,215).
Biden menjelaskan, jumlah itu adalah pembayaran segera untuk memenuhi keperluan mendesak seperti makanan, lampin dan susu bayi.
“Kepada bekas Presiden Trump, dapatkah kehidupan dan kawan. Bantulah mereka ini,” kata Biden dalam mesej terbuka di televisyen.
Senada dengan Biden, Harris turut menegaskan isu bencana yang berlaku di Florida tidak sepatutnya digunakan untuk kepentingan politik.
Harris turut menyertai taklimat secara maya yang diadakan di White House bersama Biden, mengenai usaha kecemasan selepas Taufan Milton.- AFP










