KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu segera melakukan peralihan kebergantungan arang batu kepada sumber tenaga baharu bagi mengurangkan impak perubahan iklim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, perkara itu kini menjadi cabaran utama syarikat utiliti nasional tersebut untuk merangka peralihan dan persiapan dalam mendepani usaha tersebut.
Katanya, TNB telah merangka penyelidikan rapi dan mencari jalan serta kaedah supaya peralihan tenaga itu berjalan rapi dan berkesan.
“TNB sekarang yang mempunyai rekod cemerlang dalam pelbagai bidang, sekarang tercabar untuk melakukan peralihan dan persiapan peralihan tenaga.
“TNB perlu segera melakukan peralihan (tenaga) ini, membuat persiapan untuk terus merangka melalui penyelidikan supaya peralihan tenaga kita berjalan dengan rapi dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Konvensyen Leo Moggie di sini hari ini.
Berkenaan Malaysia yang ambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan, Anwar berkata, TNB juga akan memainkan peranan dalam merealisasikan inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) yang sekaligus menjadikan negara dan rantau ini sebagai hub utama tenaga bagi masa depan.
Beliau berkata, cabaran itu memastikan inisiatif strategik APG dimeterai bagi meningkatkan bekalan tenaga dan peluang pelaburan.
“Kerajaan sedar pelaburan ini terlalu besar dan sedang memikirkan cara-cara supaya TNB bersama dengan korporat yang lain menjayakan ASEAN grid ini,” katanya.
Anwar berkata, TNB telah melalui peredaran zaman selama 75 tahun yang bukan sahaja membekalkan sumber tenaga, tetapi memastikan perkara itu menepati peredaran semasa.
“Green Building Index, Green Pathway ini semua yang tidak pernah dengar dan difikirkan pengurusan lama.
“Ini adalah tuntutan zaman dan jika mahu Malaysia ini berjaya kita harus mempunyai keupayaan kecekalan untuk bertindak merubah dan segera dan berani,” katanya.










