JEMPOL: Seekor tapir jantan seberat 200 kilogram (kg) dengan anggaran usia lima tahun mati selepas dirempuh kereta dalam kejadian di Jalan Bukit Rokan Barat, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 malam melibatkan dua buah kereta iaitu Proton X50 yang dipandu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu wanita berusia 37 tahun.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pemandu Proton X50 memandu seorang diri dari Melaka hendak ke Pahang dan sebaik sampai di tempat kejadian, semasa melalui jalan lurus menuruni bukit, tiba-tiba seekor tapir jantan telah berada di laluannya.
“Pemandu Proton X50 terlanggar haiwan itu menyebabkan haiwan itu terseret, terbabas ke kanan jalan dan bergesel dengan Toyota Hilux Proton X50 berkenaan terbabas dan jatuh ke dalam longkang di kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu kedua-dua kenderaan tidak mengalami apa-apa kecederaan dan hanya kerosakan pada kenderaan manakala tapir tersebut mati ditempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Chang Hook lagi, ketika kejadian permukaan jalan rata, kering dan keadaan cuaca adalah baik, selain jalan gelap tanpa lampu kerana berlaku di waktu malam.
Menurutnya, bangkai binatang tersebut telah diambil oleh pihak Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan untuk dilupuskan.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan 10 LN 166/59),” katanya.-UTUSAN.