Sektor kesihatan dapat RM45.3 bilion

Sektor kesihatan dapat RM45.3 bilion

Kementerian Kesihatan mendapat peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2025 bagi menyediakan keMudahan kesihatan berkualiti, selesa dan mesra rakyat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion berbanding RM41.2 bilion pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan adalah untuk menyediakan kemudahan kesihatan berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

Katanya, sejumlah RM1.35 bilion disediakan bagi menyelenggara prasarana kesihatan termasuk membaiki tandas hospital yang uzur dan wad-wad pesakit yang usang.

“Kerajaan juga terus menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara. Di bawah Kerajaan Madani, peruntukan bagi maksud ini ditingkatkan setiap tahun iaitu RM100 juta (2023), RM150 juta (2024) dan RM300 juta untuk tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau, Kementerian Kesihatan akan melaksanakan sistem kerja baharu di hospital dan klinik kerajaan secara bersasar.

Katanya, bagi fasiliti kesihatan yang menggunakan sistem ini, kerajaan bersetuju supaya Elaun Tugas Atas Panggil (on-call) dinaikkan.

“Kenaikan melibatkan jumlah antara RM55 hingga RM65 kepada Pegawai Perubatan dan Pegawai Pergigian mengikut bidang perkhidmatan dan jabatan tertentu,” katanya.

Anwar yang juga Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang memperluas skop pe­le­pasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan meliputi bayaran ujian pengesanan penyakit.

Selain itu, ia membabitkan pembelian peralatan pemeriksaan kesihatan dan kit ujian pengesanan penyakit sebagai langkah ke arah amalan penja­gaan kesihatan kendiri.

Sebanyak RM27 juta pula disediakan bagi merancakkan lagi aktiviti sukan dan riadah rakyat termasuk penganjuran Hari Sukan Negara sebagai menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Sementara itu, pelepasan cukai pendapatan individu ke atas bayaran premium insu­rans pendidikan dan insurans perubatan dinaikkan kepada RM4,000.

Pelepasan cukai pendapatan individu bagi perbelanjaan perubatan sehingga RM10,000 adalah juga meliputi bahagian bayaran perubatan yang dilakukan oleh pembayar cukai di bawah produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan dengan ciri-ciri pembayaran bersama.

Pengecualian cukai pendapatan ke atas pendapatan yang terbit daripada sumber luar negara dan telah tertakluk kepada cukai pendapatan di negara sumber serta diterima oleh individu di Malaysia, yang pada masa ini diberikan secara bertempoh sehingga 31 Disember 2026, dilanjutkan sehingga 31 Disember 2036. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×