KATHMANDU: Seorang remaja Nepal memecahkan rekod dunia sebagai pendaki gunung termuda yang berjaya menawan 14 puncak tertinggi di dunia.
Nima Rinji Sherpa, 18, berjaya sampai ke puncak Gunung Shishapangma di Tibet, pada Rabu lalu.
Dengan pencapaian ini, beliau adalah antara individu yang mendaki semua ‘eight-thousanders’, 14 gunung yang diiktiraf oleh Persekutuan Pendakian Gunung dan Pendakian Antarabangsa (UIAA) sebagai lebih 8,000 meter dari aras laut.
Nima Rimji, yang mula mendaki gunung beraltitud tinggi sejak usia 16 tahun, menamatkan pendakian kesemua ‘eight-thousanders’ dalam masa 740 hari.
Beliau menawan puncak Gunung Manaslu di Nepal, gunung kelapan tertinggi di dunia, pada 30 September 2022 – sejurus selepas menamatkan peperiksaan sekolah menengah gred ke-10.
Dalam setiap ekspedisi, anak muda ini ditemani rakan pendakinya, Pasang Nurbu Sherpa.
Pendakian yang memecahkan rekod pada Rabu menandakan pencapaian baharu Nima Rimji, yang juga pendaki termuda dunia menawan gunung Himalaya G1 dan G2.
Beliau juga adalah pendaki termuda yang menawan Nanga Parbat di Kashmir serta Gunung Everest dan Lhotse dalam masa 10 jam.
“Pendakian ini bukan sekadar penamat perjalanan peribadi saya, tetapi penghormatan kepada setiap Sherpa yang pernah berani bermimpi melangkaui sempadan tradisi yang ditetapkan untuk kami.
“Mendaki gunung lebih daripada sekadar pekerjaan fizikal, ia adalah bukti kekuatan, ketabahan dan semangat kami,” katanya.– BBC










