SRINAGAR: Kashmir yang ditadbir India memulakan proses pengundian pusingan ketiga dan terakhir hari ini, untuk memilih kerajaan pertama sejak wilayah itu berada di bawah kawalan New Delhi.
Ini menandakan detik penting selepas kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi membatalkan autonomi sebahagian Kashmir pada 2019, satu langkah yang membawa kepada penahanan besar-besaran dan sekatan komunikasi.
Sejak itu, wilayah yang menjadi perebutan antara India dan Pakistan, tidak mempunyai kerajaan yang dipilih, sebaliknya ditadbir oleh gabenor lantikan Persekutuan.
Lebih setengah juta tentera India ditempatkan di sekitar Kashmir dan undian pada Selasa menyaksikan kawalan keselamatan ketat, dengan askar bersenjata mengawal pusat pengundian di daerah Baramulla.
Lebih 55 peratus pengundi yang layak selesai menunaikan tanggungjawab dalam dua pusingan pertama pilihan raya tersebut.
Pilihan raya terdahulu menyaksikan peratusan keluar mengundi lebih rendah ekoran kempen boikot oleh kumpulan pemisah, yang selama beberapa dekad menuntut kemerdekaan Kashmir atau penggabungannya dengan negara jiran, Pakistan.
Keputusan pilihan raya akan diumumkan pada 8 Oktober ini.- AFP










