BEIRUT: Hezbollah melancarkan roket ke bandar Haifa sementara Hamas berikrar untuk bangkit semula ketika Israel semakin ‘galak’ meluaskan serangannya ke Lubnan.
Hamas, yang menyaksikan wilayah Gaza pimpinannya dihancurkan oleh perang Israel, berikrar untuk kembali seperti ‘burung phoenix’ walaupun mengalami kerugian besar daripada pertempuran selama setahun.
Pemimpin Hamas dalam buangan, Khaled Meshaal berkata, kumpulan itu akan bangkit semula dan terus merekrut pejuang baharu serta mengeluarkan senjata.
“Sejarah Palestin dibuat daripada kitaran. Kami melalui fasa di mana kami kehilangan para syahid dan kami kehilangan sebahagian daripada keupayaan ketenteraan kami.
“Tetapi kemudian semangat Palestin bangkit semula, seperti burung phoenix, terima kasih kepada Tuhan,” kata tokoh kanan di bawah pemerintahan Yahya Sinwar itu.
Tegasnya, kumpulan pejuang Palestin itu juga masih mampu melancarkan serangan hendap terhadap tentera Israel.
Khaled terselamat daripada cubaan pembunuhan Israel pada 1997 selepas disuntik dengan racun dan merupakan ketua keseluruhan Hamas dari 1996 hingga 2017.
Sementara itu, Hezbollah yang disokong Iran mendakwa, menyasarkan pangkalan tentera di selatan Haifa dengan peluru berpandu Fadi 1 dan melancarkan satu lagi serangan ke atas Tiberias sejauh 65 kilometer.
Kumpulan bersenjata itu turut menyasarkan kawasan di utara Haifa dengan peluru berpandu.
Tentera Israel berkata, kira-kira 190 peluru memasuki wilayahnya kelmarin dan 12 kecederaan dilaporkan.
Israel berkata, tentera udara melakukan pengeboman meluas ke atas sasaran Hezbollah di selatan Lubnan dan dua anggotanya terbunuh, meningkatkan jumlah kematian tentera rejim di dalam Lubnan kepada 11 orang.
Serangan udara Israel telah menyebabkan 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal di Lubnan dan kempen pengeboman Israel yang diperhebat meningkatkan kembimbangan negara itu akan mengalami skala kemusnahan yang serupa dengan Gaza.
Tentera Israel mengeluarkan amaran dalam bahasa Arab kepada pengunjung dan pengguna bot supaya mengelak kawasan pantai Lubnan, memaklumkan mereka akan memulakan operasi menentang Hezbollah dari laut tidak lama lagi.
Kementerian kesihatan Lubnan melaporkan leih 2,000 kematian, termasuk 10 anggota bomba yang terkorban dalam serangan udara di sebuah bangunan perbandaran di kawasan sempadan.- REUTERS










