Pengalaman hidup susah, Mohamad Fadzil edar nasi kandar percuma

Pengalaman hidup susah, Mohamad Fadzil edar nasi kandar percuma

MOHAMAD Fadzil Abdul Wahab (kiri) dan sepupunya Che Hajirah Bee Abdul Hamid (kanan) mengedarkan nasi kandar percuma di sekitar Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kesukaran hi­dup yang pernah dirasai oleh Mohamad Fadzil Abdul Wahab, 44, menjadi pencetus idea kepada usahawan tersebut untuk memulakan inisiatif mengedarkan nasi kandar percuma kepada orang ramai sejak September tahun lalu.

Kini nama Mohamad Fadzil bersama kakak sepupunya, Che Hajirah Bee Abdul Hamid, 46, dikenali ramai sebagai ‘founder’ kepada projek Nasi Kandar Bergerak yang semakin aktif mengedarkan nasi kandar percuma kepada orang ramai sekitar negeri ini.

Menceritakan bagaimana projek Nasi Kandar Bergerak itu bermula, Mohamad Fadzil yang merupakan usahawan kedai runcit itu berkata, ia bermula dengan niat dia sekeluarga untuk membantu orang ramai selepas dikurniakan limpahan rezeki dalam bidang peruncitan.

“Sebelum menjadi usahawan kedai runcit, saya pernah hidup susah. Saya pernah kerja kilang yang di dalam poket saya hanya ada RM2.50 untuk belanja.

“Saya pernah teringin makan ayam, namun duit saya tidak cukup. Bertitik tolak dari situ iaitu selepas saya ada rezeki lebih dalam berniaga, saya mahu sumbang kembali kepada masyarakat dengan edarkan nasi kandar percuma kepada orang ramai terutama golongan B40,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut, Mohamad Fadzil, dia dan ahli keluargnya akan memasak nasi serta lauk pauk nasi kandar itu di rumah mereka di Batu Kawan sebelum mengedarkannya dengan menggunakan food truck ke kawasan-kawasan yang akan diumumkan menerusi aplikasi TikTok.

“Setiap hari Isnin hingga Jumaat dengan dibantu sepupu, Che Hajirah Bee serta isteri, Nurul Huda Abdullah serta ahli keluarga lain, kami akan memasak hidangan untuk 500 bungkus nasi kandar.

“Saya peruntukan Isnin hingga Jumaat untuk bantu orang ramai menerusi edaran nasi kandar percuma, manakala Sabtu dan Ahad saya akan tumpukan pada perniagaan runcit saya di Batu Kawan.

“Lima hari dalam seminggu saya dan keluarga akan peruntukan untuk saham akhirat keluarga kami, projek ini juga adalah tanda kesyukuran kami terhadap segala rezeki yang Allah kurniakan kepada kami,” katanya.

Tambah Mohamad Fadzil, sejak hampir setahun memulakan projek edaran nasi kandar bergerak percuma menerusi food truck itu, dia telah mengedarkan kira-kira 50,000 bungkus nasi kandar kepada orang ramai.

“Saya gembira apabila usaha kami sekeluarga menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi makanan percuma mendapat sambutan orang ramai.

“Pada masa ini saya hanya mempunyai sebuah lori makanan sahaja dan saya berhasrat mengembangkan lagi projek nasi kandar bergerak ini sekiranya mempunyai dana,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×