Penduduk Pantai Timur waspada bah kuning berulang

Penduduk Pantai Timur waspada bah kuning berulang

KELANTAN dijangka dilanda banjir besar atau ‘bah kuning’ pada hujung tahun ini berpandukan kitaran alam yang menyaksikan setiap 10 tahun negeri itu berdepan situasi sedemikian
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Negeri Pantai Timur, terutama Kelantan dijangka dilanda banjir besar atau bah kuning pada hujung tahun ini berpandukan kitaran alam yang menyaksikan setiap 10 tahun negeri itu berdepan situasi sedemikian.

Kali terakhir Kelantan mengalami­nya adalah pada 2014 selepas bah ku­ning menenggelamkan hampir semua jajahan negeri itu.

Bah kuning yang digambarkan seperti tsunami itu menyebabkan kira-kira 202,000 penduduk di negeri ini menjadi mangsa, 10 tahun lalu. 

Malah ada dalam kalangan penduduknya hilang sepenuhnya harta benda termasuk rumah akibat bencana itu. 

Tidak cukup dengan itu, Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai merekodkan bacaan tertinggi dalam sejarah iaitu 46.47 meter berbanding bacaan paras bahaya iaitu 38 meter. 

Terdahulu, pada 2004, Kelantan dilanda banjir besar yang menenggelamkan sebahagian bandar Kota Bharu dan direkodkan antara terburuk pernah berlaku selepas bah merah pada 1967. 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kelantan dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia memaklumkan, pada Disember ini, Kelantan dijangka menerima hujan pada kadar melebihi purata, iaitu antara 20 hingga 40 peratus. 

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh tersebut, telah diberikan sebagai persediaan. 

Jajahan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang akan menerima hujan pada kadar 680 hingga 790 milimeter (mm). 

“Untuk November, ketiga tiga jajahan ini dijangka menerima hujan sekitar 330 hingga 490 mm sahaja. 

“Bagi jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Machang pada Disember ini, kesemua jajahan itu dijangka menerima hujan antara 690 hingga 810 mm, sedikit melebihi purata. 

Untuk November pula jangkaan hujan diterima 530 hingga 800 mm,” katanya. 

Jelas kenyataan itu, Met Malaysia Kelantan memberi taklimat berkaitan persediaan Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di peringkat negeri dan jajahan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jajahan. 

Katanya, penerangan ke pada agensi-agensi pelaksana pengurusan bencana seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyela mat Malaysia (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta kumpulan sasar 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Met Malaysia, Ambun Dindang berkata, bagi kawasan Kelantan dan Terengganu, jumlah hujan bulanan yang bakal diterima adalah pada paras purata bagi November dan sedikit di atas paras purata pada Disember nanti. 

“Risiko untuk berlaku banjir semasa MTL memang ada tetapi tahap banjir bergantung kepada keadaan hujan yang turun dan faktor lain seperti, kekuatan luruan monsun, kewujudan kawasan tekanan rendah, air pasang besar dan keadaan sungai. 

“Banjir akan lebih besar jika kesemua faktor tersebut wujud secara serentak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di Rantau Panjang yang merupakan kawasan sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh mendapati penduduk sudah mula membuat persiapan untuk berdepan sebarang kemungkinan. 

Mek Yam Ahamad, 82, berkata, sebaik sahaja masuk November, hatinya menjadi gundah-gulana kerana memikirkan nasib yang akan menimpa sepanjang musim tengkujuh itu. 

Katanya, walaupun paras air Sungai Golok masih normal, namun dia sudah membuat persiapan awal dengan menyimpan barangan penting di tempat yang selamat. 

“Kami di sini yang paling awal berpindah dan menjadi mangsa pertama di daerah ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS). 

“Apabila diramalkan banjir kritikal tahun ini, saya mula resah sehingga tidak dapat tidur dengan lena,” katanya. 

Norazni Setapa, 48, pula memberitahu, dia memilih untuk membuat persiapan awal bagi mengelak berdepan kekalutan sebaik sahaja banjir melanda. 

“Mujur tahun ini saya ada menerima sumbangan rakit ke cemasan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Dengan adanya kemudahan itu, dapatlah saya menyimpan harta benda jika rumah dinaiki air. 

“Setiap kali banjir, paras air akan cecah sehingga bumbung rumah,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN