Pencemaran udara jejas 9.8 juta penduduk di Lembah Klang

Pencemaran udara jejas 9.8 juta penduduk di Lembah Klang

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 9.8 ju­ta penduduk Kuala Lumpur, Klang dan Banting di Selangor berisiko tinggi menyedut udara tercemar yang boleh mengundang pelbagai komplikasi pe­nya­kit.

Ketiga-tiga kawasan ini pa­ling terdedah kepada pencemaran udara berpunca daripada pelepasan asap kotor terutama daripada sektor industri melalui cerobong asap kilang, kenderaan di atas jalan raya dan pembakaran terbuka.

Terdapat kira-kira enam juta atau 85 peratus kenderaan berada di ibu negara setiap hari sekali gus menjadikannya sebagai antara bandar paling berisiko mengalami pencemaran udara.

Sementara di Klang dan Ban­ting pula menjadi kawasan tumpuan industri dan laluan kenderaan berat selain berlakunya beberapa siri kebakaran sampah terbuka serta wujudnya tapak pelupusan haram.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan 91 peratus penduduk di kawasan bandar menyedut udara tercemar.

WHO turut mendedahkan kualiti udara kini secara global berada pada tahap yang tidak memuaskan yang mana sekitar 99 peratus daripada populasi menghirup udara yang melebihi had disyorkan.

Pencemaran udara yang membimbangkan ini menye­babkan kurang-kurangnya tujuh juta kematian pramatang setiap tahun dan dua juta daripadanya merupakan mereka yang berada di Rantau Asia Tenggara.

Menurut WHO, kini setiap nafas manusia, ia turut menyedut ‘bahan asing’ ke dalam paru- paru mereka iaitu antara logam toksik, asap diesel, partikel halus, nitrat, sulfat, debu tanah, habuk jalan dan garam laut.

Pendedahan berterusan terhadap udara tercemar boleh membawa kepada penyakit pernafasan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD), radang paru-paru dan kanser paru-paru.

Ketua Projek Penyelidikan, Kualiti Udara dan Kesan Kesihatan di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr Juliana Jalaludin berkata, pencemaran udara adalah risiko alam sekitar yang besar kepada kesihatan.

Kata beliau, dengan mengurangkan tahap pencemaran udara negara akan dapat mengurangkan risiko strok, penyakit jantung, kanser paru-paru, pneumonia dan penyakit lelah atau asma.

“Pencemaran udara memberi kesan kepada manusia dalam pelbagai cara. Golongan tua, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan adalah lebih sensitif pencemaran udara.

“Impak pencemaran udara terhadap kesihatan adalah sangat meluas dan bervariasi. Kesan pencemaran udara boleh berlaku secara akut iaitu dalam jangka masa singkat jika paras kepekatan tinggi manakala secara kronik kesan berlaku dalam jangkamasa panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Juliana berkata, pendedahan jangka pendek dan panjang kepada pencemaran udara boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit kronik.

“WHO mendokumentasi bukti hubungan antara pendedahan kepada pencemaran udara dan diabetes jenis 2, obesiti, keradangan sistemik, dan penyakit Alzheimer.

“Agensi Penyelidikan Kan­ser Antarabangsa juga telah mengklasifikasikan pencemaran udara, khususnya zarah halus (PM 2.5) sebagai punca utama kanser.

“Kajian global baru-baru ini mendapati pendedahan kronik boleh menjejaskan setiap organ dalam badan, memburukkan lagi kesihatan sedia ada. Kanak- kanak dan remaja sangat terdedah kerana badan, organ dan sistem imun mereka masih berkembang.

“Pencemaran udara merosakkan kesihatan semasa zaman kanak-kanak dan meningkatkan risiko penyakit di kemudian hari,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, kajian terhadap pencemaran udara turut menjejaskan kesuburan dan janin dalam kandungan.

Jelasnya, kerosakan sistemik adalah hasil daripada bahan pencemar yang menyebabkan keradangan yang kemudiannya ke seluruh badan dan zarah ultra ( UFPs) iaitu kurang dari 0.1 m or 100 nm dalam diameter, halus dibawa ke seluruh badan oleh aliran darah.

Tambahnya, pencemaran udara merupakan tanda kecemasan terhadap kesihatan awam terutama apabila WHO menyatakan lebih daripada 90 peratus penduduk global bernafas udara ambien yang toksik yang kebanyakannya berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Analisis terkini juga menunjukkan 8.8 juta kematian pramatang setiap tahun iaitu dua kali ganda anggaran lebih awal dengan menjadikan pencemaran udara menjadi penyumbang kematian lebih daripada merokok tembakau,” katanya.

Beliau berkata, punca utama terhadap masalah pencemaran udara dan mempengaruhi kualiti udara adalah antaranya pelepasan industri, aktiviti pengangkutan, amalan pertanian seterusnya kepada aktiviti pembandaran.

Bagaimanapun, katanya, kesan khususnya terhadap kualiti udara di seluruh kawasan adalah berbeza.

“Antara faktor penyumbang utama adalah dari sumber pengangkutan dan jerebu merentas sempadan terdapat juga kejadian pembuangan sisa industri seperti yang pernah dan masih berlaku di Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang di Johor.

“Insiden ini memberi kesan signifikan terhadap kesihatan komuniti yang sensitif seperti kanak-kanak dan golongan ibu mengandung dan warga emas dengan komorbiditi yang sering berpunca dari pembakaran hutan, terutama semasa musim kemarau,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN