MALE’: Maldives hari ini mengumumkan larangan terhadap vape dan produk lain berkaitan rokok elektronik, menurut kenyataan rasmi.
Presidennya, Mohamed Muizzu mengarahkan pentadbirannya mengambil langkah konkrit untuk mengharamkan vape.
“Presiden Muizzu mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk memulakan tindakan sewajarnya bagi melarang import peranti vape, aksesori dan alat ganti bermula 15 November 2024,” kata kenyataan daripada pejabat Presiden.
Selain itu, mulai 15 Disember, larangan itu akan merangkumi pemilikan, penggunaan, pembuatan, penjualan, promosi dan pengedaran percuma peranti vape di seluruh negara.
Susulan arahan Presiden, Peguam Negara, Ahmed Usham berkata, pindaan kepada undang-undang sedia ada akan dibawa ke Parlimen minggu ini.
“Pindaan yang perlu bagi undang-undang untuk melaksanakan arahan Presiden akan dihantar ke Parlimen minggu ini.
“Akta Kawalan Tembakau dan Akta Import Eksport juga akan dipinda,” kata Usham menerusi hantaran di X.
Keputusan kerajaan itu selari dengan permintaan daripada ibu bapa dan penyedia perkhidmatan kesihatan untuk melarang peranti rokok elektronik di negara tersebut.- AGENSI










