VIENTIANE: Malaysia sekali lagi diberi pengiktirafan menjadi pengerusi bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 pada tahun depan.
Peluang itu membolehkan Malaysia mengetuai rantau ASEAN dalam memperkukuhkan kerjasama dengan kuasa besar dunia, terutamanya dalam menangani cabaran kritikal di peringkat serantau dan global yang semakin mendesak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penubuhan ASEAN hampir enam dekad itu adalah atas dasar keamanan, kestabilan serta kemakmuran, justeru Malaysia selaku pengerusi akan meneroka dan meluaskan perkongsian ekonomi di luar sempadan.
Beliau turut menekankan kepentingan mempertahan prinsip kebebasan ASEAN yang berhak untuk meneruskan hubungan baik dua hala dengan semua negara.
“Kita meneruskan hubungan baik dua hala dan juga rakan baik, Amerika Syarikat (AS) atau Kesatuan Eropah (EU).
“Pada masa sama, kita juga meningkatkan hubungan dengan China atau meneruskan hubungan dengan Myanmar supaya kita dapat menjalin kerjasama bagi menyelesaikan masalah serta kemelut politik yang rumit di negara itu.
“Malaysia juga mempunyai hubungan dengan Russia, yang tidak disenangi beberapa negara Barat tetapi saya tekankan sebagai negara bebas dan berdaulat, kita berhak menjalin hubungan dengan semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama media Malaysia pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC), di sini semalam
Terdahulu, Anwar menerusi ucapan Sidang Kemuncak ASEAN-AS menekankan kepentingan bidang kerjasama utama serta komitmen Malaysia terhadap usaha memupuk keamanan di zon konflik.
“Malaysia sedia bekerjasama rapat dengan ASEAN dan AS bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak yang boleh memudahkan AS menandatangani dan meratifikasi Protokol Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
“SEANWFZ adalah komponen penting keselamatan serantau, bertujuan untuk mempromosikan Asia Tenggara yang bebas nuklear,” katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia bekerjasama dalam program pembangunan kapasiti bagi mempertingkatkan modal insan, khususnya dalam sektor teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan bandar lestari.
Menyentuh mengenai krisis di Asia Barat, Anwar mengulangi sokongan Malaysia terhadap tuntutan masyarakat antarabangsa untuk gencatan senjata segera bagi mengelakkan malapetaka kemanusiaan ebih besar di Gaza dan Lubnan.
“Adalah penting bagi semua pihak yang terlibat untuk mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan yang sudah tegang,” katanya.
Anwar juga mengulangi sokongan negara terhadap pelaksanaan pelan tiga fasa bagi mencapai keamanan di Gaza
Beliau menggesa pelan itu dilaksanakan dengan segera tanpa syarat tambahan demi memastikan kestabilan jangka panjang di Asia Barat.










