KANGAR: Malaysia diramal berdepan perubahan cuaca melampau atau cuaca ekstrem seperti hujan lebat luar biasa dan kemarau panjang bermula tahun depan.
Bagaimanapun, negara ini dilihat masih belum bersedia sepenuhnya untuk menghadapi situasi mencabar sedemikian.
Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA), Dr. Mohmad Asari Daud berkata, negara tidak boleh memandang ringan perubahan iklim yang berlaku kerana ia membawa pelbagai impak terutama ke atas sektor pertanian melibatkan soal keterjaminan makanan negara.
Kata panel penasihat perubahan iklim itu, kemarau dan banjir akibat perubahan iklim bakal menjadi cabaran besar buat negara pada masa depan dan ia perlu diberi perhatian serius, iaitu bagaimana Malaysia mampu mendepaninya.
“Dalam tempoh lima tahun ini, kita mungkin berdepan dua peristiwa besar iaitu kemarau dan banjir ekstrem. Ada kajian dan ramalan berhubung perkara itu yang kata ia boleh berlaku seawal tahun depan.
“Banjir ekstrem mungkin berlaku di Pantai Barat manakala kemarau di Pantai Timur. Ia masih di peringkat ramalan, akan berlaku kemarau ekstrem pada 2026, diikuti banjir mungkin sekali atau dua kali.
“Jadi, apa yang perlu dilakukan? Antaranya, menyediakan infrastruktur yang cukup untuk menyimpan bekalan air, perlu ada lebih banyak takungan air. Malaysia kena bersedia jika tidak mahu terkejut dengan situasi seperti kemarau dan banjir ekstrem akibat perubahan iklim ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula akhir Oktober ini berisiko membawa hujan lebih ekstrem disebabkan peningkatan suhu dunia, perubahan iklim dan pemanasan global.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan kebarangkalian berlaku fenomena La Nina pada tahun ini adalah pada kadar 71 peratus.
Felow Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, ramalan itu dikeluarkan berdasarkan corak suhu anomali permukaan laut di Lautan Pasifik menyamai fenomena La Nina.
Menurut Fredolin, ia akan meningkatkan ketidakstabilan cuaca di rantau ini dan meningkatkan kebarangkalian hujan ekstrem termasuk ketika MTL.
Pada masa sama, perubahan iklim dan pemanasan global juga meningkatkan kebarangkalian hujan ekstrem.
Sebelum itu, akhbar melaporkan, hujan lebat berterusan menyebabkan puluhan ribu penduduk di Lembah Klang ‘huru-hara’ akibat terperangkap dalam banjir kilat sedalam kira-kira 0.5 meter.
Katanya lagi, apabila berlaku kemarau contohnya, menyebabkan bekalan air terhad dan keutamaan sudah pastinya untuk kegunaan harian dan pertanian.
Justeru, katanya, perlu ada kolam-kolam takungan berdekatan dengan kawasan-kawasan pertanian untuk memenuhi keperluan sektor berkenaan dan juga kolam-kolam sumber air untuk kegunaan harian.
Dalam pada itu, Mohmad Asari berkata, perubahan iklim disebabkan pemanasan global menjadi lebih kritikal apabila kawasan perbandaran dan pembangunan setempat mengurangkan daya tahan terhadap perubahan tersebut.
“Oleh itu, perlu ada langkah mitigasi bagi mengurangkan impak perubahan iklim. Malaysia juga perlu sentiasa mempersiapkan diri ke arah daya tahan terhadap cabaran perubahan iklim.
“Kena buat pelbagai usaha untuk (meningkatkan) simpanan air bagi menghadapi masa kemarau. Jika tidak, kita akan dikejutkan dengan situasi bekalan air tidak cukup dan sebagainya disebabkan penghasilan (air) kita menurun,” katanya.
Selain itu, katanya, Malaysia telah beberapa kali diuji dengan insiden kemarau yang kritikal dan banjir di luar jangkaan dengan sebahagian dikaitkan dengan fenomena El Nino, La Nina ataupun perubahan iklim tersebut.
Ujarnya, selain itu, banjir dan kemarau tersebut tentunya ada juga kaitan dengan aktiviti manusia di serata tempat.
“Oleh demikian, semua pihak hendaklah mempunyai kesedaran dan keinginan untuk mengurangkan impak dari pelbagai punca secara bersungguh-sungguh dan bersepadu.
“Perubahan kepada guna tanah dengan pembangunan pesat sedikit sebanyak telah menjadikan daya tahan dalam menghadapi perubahan iklim secara semula jadi berkurangan,” ujarnya. – UTUSAN










