DISEBALIK keceriaan ketika berada di set penggambaran drama Wish List, Ramona Zam Zam sebenarnya diuji dengan dugaan yang cukup besar dalam hidupnya.
Dia perlu kuat demi ayah tercinta iaitu Mohd Zamzam yang kini diuji penyakit strok selepas pembedahan jantung yang dilakukan di sebuah hospital swasta, gagal.
Pelbagai emosi terpaksa ditelan Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam. Namun pelakon berusia 36 tahun ini perlu ‘membekukan’ perasaan, hadir ke set penggambaran berbekalkan keceriaan walaupun dihimpit penyesalan.
“Tak akanlah kita nak tunjuk semua perasaan kita, hidup perlu diteruskan jugakan? Kita masih ada keluarga, mak ayah, kerjaya, anak yang memerlukan perhatian kita.
“Mungkin apa yang dipamerkan itu sebenarnya sebahagian daripada personaliti saya yang sememangnya ceria. Lagi pun, tak akanlah saya nak terbawa bawa hal peribadi ke set penggambaran pula.
“Dalam bekerja, kita perlu profesional. Memang sedih tengok keadaan bapa jadi begitu. Tetapi bila melaksanakan tugas, saya kena lupakan seketika semuanya,” katanya ketika lawatan media ke set penggambaran drama tersebut, baru-baru ini.
Mohd Zamzam menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira dua tahun lepas. Pembedahan itu gagal dan lebih parah lagi dia mengalami strok selepas melakukan pembedahan itu.
“Kami sekeluarga berhadapan fasa mencabar terutamanya setahun selepas itu. Ayah banyak menangis mengenangkan nasibnya. Masa itulah saya mengambil keputusan untuk berehat sementara daripada dunia lakonan untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada bapa,” katanya.

Ramona sementara itu memaklumkan keadaan ayahnya semakin merosot dan perlu pemantauan rapi dari keluarga.
Namun, keadaan ingatan ayahnya yang semakin memburuk membuatkan pelakon ini menyesal kerana tidak cukup masa bersama.
“Ayah masih menjalani rawatan, masih keluar masuk hospital. Jika saya tidak terlibat dengan sebarang pengambaran, saya akan bantu ibu menjaga dia.
“Keadaan ayah semakin teruk. Dia jadi pelupa, kadang ingat dan kadang tidak. Ada masanya dia tak kenal pun siapa anak-anaknya.
“Perkara itu membuatkan saya sebagai anak, sedih. Banyak penyesalan sebenarnya. Saya rasa bersama dia cukup, tapi sebenarnya tidak. Apatah lagi apabila dia sudah lumpuh, bercakap pun susah. Saya menyesal,” jelasnya.
Ramona memaklumkan ada kalanya dia tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat ayahnya menangis kerana tidak dapat menerima keadaanya.
Justeru dia membuat keputusan untuk kembali berlakon bagi melepaskan semua tekanan.
“Doktor memaklumkan keadaan bapa akan merosot disebabkan pembedahan gagal dan prestasi Jantung beliau semakin menurun.
Berapa lama lagi dia dapat bertahan, wallahualam. Kami sekeluarga teruskan berdoa.
“Ayah tidak dapat menerima keadaannya, banyak menangis untuk meluahkan rasa sedih. Kami sekeluarga kena tabah dalam menghadapi ujian ini.
“Saya pula membuat keputusan untuk kembali berlakon sebagai terapi dan tempat untuk melepaskan tekanan.
“Apa pun, kepada yang masih ada mak ayah, selagi mereka sihat, luangkanlah lebih banyak masa bersama mereka,” kongsinya lagi.










