Loya, muntah akibat buangan sisa najis ayam

Loya, muntah akibat buangan sisa najis ayam

HARRISON Hassan (tengah) bersama penduduk menunjukkan keadaan parit yang tercemar di sekitar Kampung Simpang 3, Jeram di Kuala Selangor, Selangor, semalam. – UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 5,000 penduduk tiga buah kampung di Jeram, mendakwa hidup tidak selesa apabila berdepan bau busuk pembuangan sisa najis ayam dari sebuah kilang dalam kawasan itu sejak beberapa tahun lalu.

Selain Kampung Simpang 3, Kampung Jeram dan Kampung Bukit Kuching, keadaan itu menyebabkan penduduk berdekatan mengalami simptom sesak nafas, loya dan muntah serta risiko masalah kesihatan lain.

Penduduk, Zairul Majid, 49, berkata, mereka kerap terhidu bau pencemaran di kawasan parit terutama pada waktu malam.

“Bau busuk air sisa najis ayam itu menyebabkan saya sering kali loya dan keadaan sama turut dialami anak yang menghidap asma.

“Ada penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan akibat masalah pencemaran itu,” katanya ketika ditemui bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan di lokasi itu semalam.

Bagi Azhar Abdullah, 49, isu itu berlarutan sejak sekian lama dan masih tiada penyelesaian biarpun beberapa bantahan dibuat.

“Kami rimas melihat air bertukar hitam dan berbuih di kawasan parit sekitar kilang memproses najis ayam berkenaan. Keadaan semakin teruk apabila hujan kerana aliran air memasuki parit rumah penduduk,” ujarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPPKP) Kampung Simpang 3, Mohd. Norkhan Rais memberitahu, kilang itu pernah diambil tindakan kompaun oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sebelum ini.

“Namun, ia seolah-olah tiada jalan penyelesaian dan masih tetap beroperasi seperti biasa.

“Kami menggesa tindakan lebih tegas diambil bagi memastikan aliran air sisa najis itu tidak mengalir ke kampung sehingga mengakibatkan isu kesihatan dan pencemaran bau,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×