Lebih 30 juta tunggu khabar gembira

Lebih 30 juta tunggu khabar gembira

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan dokumen Belanjawan 2025 ketika hadir meninjau persiapan pembentangan belanjawan di Kementerian Kewangan di Putrajaya semalam. – JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 30 juta rakyat me­nanti khabar gembira pengumuman Belanjawan 2025 petang ini dengan harapan tiada yang tercicir daripada menikmati semua inisiatif dan pembangunan sama rata se­jajar sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2027.

Pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, bagi mencapai matlamat itu, intipati Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 dibentang hari ini dijangka menyentuh kesejahteraan rakyat dengan memfokuskan untuk menambah pendapatan pekerja, mengurangkan jurang sosio ekonomi dan kos sara hidup secara menyeluruh.

Oleh itu, menurut beliau, kek ekonomi yang bakal diumumkan perlu bersifat lebih menyeluruh dan memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat terutama dalam kalangan kumpulan M40 dan B40 agar tidak ada yang terlepas pandang.

“Pengumuman Belanjawan 2025 pada hari ini perlu melihat semula usaha me­ningkatkan pendapatan dan produktiviti rakyat terutamanya menambah poket isi rumah sejajar sasaran negara berpendapatan tinggi menjelang 2027.

“Memandangkan Malaysia diunjur mencapai pertumbuhan mengatasi sasaran bagi 2024 untuk melepasi sasaran 4.0 hingga 5.0 peratus, namun segala limpahan itu seharusnya memberi makna dari segi jaringan sosial rakyat dengan salah satu caranya kerajaan boleh me­ningkatkan bantuan tunai kepada kumpulan yang layak,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Barjoyai, antara tiga aspek mungkin diberikan tumpuan iaitu menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh, pemusatan pertumbuhan ekonomi dan menangani gejala rasuah.

“Pada tahun ini, kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM10 bilion. Bagaimana pula pada 2025? Jika melihat kos sara hidup semasa, jumlah itu tidak mencukupi.

“Jadi ia perlu ditambahkan kepada RM15 bilion supaya kadar maksimum STR bertambah untuk menampung perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Pada petang ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Belanjawan 2025 yang bertemakan Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera.
Pembentangan ini adalah belanjawan ketiga yang digarap Kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, kerajaan melalui belanjawan juga perlu memfokuskan memacu pertumbuhan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) memandangkan lebih 1.2 juta syarikat industri itu bergelut untuk meneruskan perniagaan ekoran kekangan kewangan.

“Memandangkan terdapat 70 peratus pekerja dalam sektor PMKS, mereka sebenarnya tidak menikmati limpahan ekonomi kerana pendapatan masih rendah. Jadi kumpulan ini perlu diberikan perhatian,” katanya.

Selain itu, beliau meminta kerajaan agar memfokuskan peningkatan bantuan soko­ngan kewangan untuk rakyat yang hilang pekerjaan ekoran trend pembuangan pekerja di syarikat antarabangsa dan gergasi besar dengan alasan untuk mengecilkan operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Saravanan Thambirajah berkata, sebarang pe­ngenalan cukai termasuk Cukai Makanan Tidak Sihat dikenali sebagai Fat Tax dan peningkatan cukai tembakau serta cecair vape langkah terbaik untuk meningkatkan kesihatan rakyat.

Namun, menurut beliau, kerajaan perlu memastikan pelaksanaan cukai tidak membebankan pengguna, dengan penguatkuasaan tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

“Cukai Fat Food boleh membawa kepada kenaikan harga makanan tidak sihat, dan ada kebimbangan bahawa peniaga akan memindahkan kos cukai tersebut kepada pengguna.

“Oleh itu, untuk mengelakkan kenaikan kos sara hidup kerajaan perlu meningkatkan penguatkuasaan Akta Anti Pencatutan bagi memastikan tiada peniaga berani mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan barangan lain,” katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu melaksanakan pemantauan har­ga secara berkala untuk memas­tikan harga makanan dan barangan asas lain kekal berpatutan bagi semua pengguna.

Beliau juga melihat sudah tiba masanya kerajaan meningkatkan cukai terhadap produk tembakau, termasuk cecair vape yang semakin popular dalam kalangan orang muda.

Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohd. Izzat Afifi Abd. Hamid pula berkata, pihaknya menaruh harapan Belanjawan 2025 memberikan tumpu­an terhadap kebajikan dan kesejahte­raan rakyat selain memastikan pertumbuhan ekonomi akan terus berkembang selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.

Katanya, antara yang perlu diberikan perhatian adalah pendidikan, pembangunan dan perumahan.

“MBM sentiasa berharap setiap perancangan pihak kerajaan dalam memastikan kesejahteraan dan pemba­ngunan negara berlaku secara efisien lagi inklusif,” katanya.

Dalam pada itu beberapa persatuan dan individu se­perti Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), persatuan nelayan, pesawah dan pekerja ekonomi gig turut mengharapkan Belanjawan 2025 turut memberi impak kepada kelangsungan pekerjaaan dan kehidupan mereka yang semakin mencabar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN