ALOR SETAR: Walaupun penggal baharu persekolahan 2025 masih jauh, ibu bapa diingatkan agar tidak menggunakan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 yang akan diagihkan pada awal tahun depan untuk membeli barangan keperluan harian.
Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, ibu bapa perlu amanah menggunakan wang bantuan tersebut bagi membeli keperluan persekolahan anak-anak sahaja.
Menurutnya, kebarangkalian wang tersebut digunakan untuk membeli kelengkapan menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri pada tahun depan adalah tinggi kerana sesi persekolahan 2025/26 bermula Mac, iaitu kira-kira dua minggu umat Islam menyambut puasa.
“Nama pun bantuan persekolahan, kita berharap ibu bapa ikutlah hasrat kerajaan untuk membantu meringankan beban pelajar ketika masuk sekolah,” katanya ketika dihubungi.
Jelas Zainol Abidin, pada tahun-tahun sebelum ini, ada maklumat ibu bapa menggunakan duit bantuan tersebut untuk membeli barang dapur.
Susulan itu, kata beliau, pihaknya mengesyorkan agihan wang BAP tidak dilakukan terlalu awal bagi memastikannya digunakan dengan cara terbaik untuk pelajar.
Beliau bagaimanapun beranggapan tindakan kerajaan mengagihkan bantuan tersebut kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan keluarga pada tahun ini sangat wajar.
“Perkara ini terbaik kerana semua pelajar dapat berbanding tahun sebelum ini. Pelbagai isu timbul sebelum ini apabila pihak sekolah terpaksa membuat penilaian untuk mengagihkan kepada yang betul-betul layak sahaja.
“Jadi, isu di mana ada pelajar yang tidak mendapat wang ini berasa kecil hati tetapi apabila semua dapat, tiada masalah lagi,” katanya.
Kerajaan mengumumkan untuk meneruskan BAP pada tahun depan dengan peruntukan sebanyak RM800 juta melalui pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.
Bantuan sebanyak RM150 setiap pelajar itu akan disalurkan tanpa mengira pendapatan keluarga. – UTUSAN










