PETALING JAYA: Graduan jurusan sastera dan sains sosial yang tidak mempunyai kemahiran dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) berkemungkinan berdepan cabaran untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran kerja masa kini.
Menurut data daripada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kebolehpasaran graduan pada tahun 2023 didominasi oleh graduan dari jurusan pengajian perniagaan, pentadbiran dan perundangan dengan jumlah 58,628 orang atau 28.4 peratus.
Jurusan kejuruteraan, pembinaan, dan pembuatan pula menduduki tempat kedua dengan 55,631 graduan atau 26.9 peratus daripada keseluruhan 324,408 graduan tahun tersebut.
Selain itu, jurusan sains sosial, kewartawanan dan maklumat mencatatkan sekitar 9,504 graduan bersamaan 4.6 peratus, manakala graduan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi hanya mewakili tujuh peratus atau 14,467 orang.
Statistik ini menimbulkan persoalan mengenai masa depan graduan yang bukan dari bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, graduan sains sosial masih mempunyai masa depan yang cerah jika mereka mampu menyesuaikan diri dengan keperluan semasa industri, kemahiran insaniah dan teknologi.
Menurut beliau, universiti komited memastikan pelajar bersedia memenuhi keperluan industri melalui subjek Latihan Industri yang mana pelajar ditempatkan di organisasi yang relevan dengan bidang pengajian bagi mempersiapkan mereka untuk melangkah ke alam pekerjaan.
“Pasaran kerja sentiasa berubah mengikut keperluan ekonomi global. Jika dahulu, jurusan teknologi kaklumat dan sains komputer mendominasi pasaran kerja, saya yakin bidang teknologi, terutama AI akan terus menjadi antara bidang permintaan tinggi.
“Namun, dalam pasaran pekerjaan global sekarang, kita tidak boleh lagi memisahkan jenis pekerjaan. Bidang teknologi, terutama AI, kini berkait rapat dengan pengurusan, perniagaan, pemasaran, perubatan dan kejuruteraan. Ini menyebabkan sempadan antara bidang pekerjaan menjadi semakin tidak jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kajian yang dijalankan oleh pihak Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) menunjukkan satu daripada faktor mengapa graduan sukar memperoleh pekerjaan yang dipohon adalah disebabkan kurang berkemahiran.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, universiti perlu menawarkan latihan bersijil profesional dan kompetensi yang diiktiraf oleh industri untuk memastikan graduan memiliki kelayakan yang relevan dan diakui di pasaran kerja.
Kata beliau, universiti perlu menyediakan latihan meningkatkan kemahiran dan penguasaan kemahiran baharu mengenai bidang yang menjadi keutamaan dalam pasaran kerja bagi memastikan pelajar sentiasa berdaya saing.
“Menambah nilai kandungan kurikulum sains sosial dengan memperkenalkan kursus-kursus yang memberi penekanan kepada kemahiran kompetensi diperlukan industri seperti kemahiran insaniah dan analitik serta digital. Contohnya, dua atau tiga kursus berkaitan penggunaan AI dalam bidang sosial.
“Malah, universiti perlu menjalin kerjasama lebih berstruktur dalam penempatan pelajar untuk latihan industri serta memastikan pengalaman diperoleh sejajar dengan kehendak pasaran kerja,” jelasnya.
Mohd Ekhwan berkata, jurang kompetensi antara graduan dari pelbagai bidang serta pengurangan minat terhadap bidang yang dianggap kurang komersial boleh mencetuskan cabaran sosial dan ekonomi dalam jangka masa panjang.
Kata beliau, keadaan ini berpotensi untuk mengakibatkan kekurangan tenaga kerja yang terlatih dalam sektor-sektor tertentu yang mungkin mengganggu pertumbuhan dan inovasi.
“Sektor-sektor yang memerlukan pemikiran kritikal, kreativiti dan kemahiran interpersonal yang tinggi mungkin terlepas bakat berpotensi akibat ketidakseimbangan ini.
“Jika graduan lebih cenderung memilih bidang yang lebih popular dan menguntungkan, sektor seperti seni, pendidikan dan kerja sosial yang juga penting bagi pembangunan masyarakat mungkin tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.
“Ini boleh mengakibatkan kekurangan profesional dalam bidang-bidang tersebut, seterusnya menjejaskan kualiti perkhidmatan dan inovasi yang diperlukan untuk menangani isu-isu sosial yang kompleks,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan IKRAM Malaysia, Profesor Dr. Omar Yaakob berkata, graduan perlu memiliki daya saing yang tinggi.
Jelas beliau, mereka tidak boleh berhenti belajar, sebaliknya perlu sentiasa bersedia untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan keupayaan melalui pendidikan tidak formal.
“Dalam konteks cabaran ekonomi Malaysia yang berasaskan industri, permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang sains dan teknologi sememangnya tinggi. Oleh itu, peluang pekerjaan bagi graduan dalam bidang ini juga lebih meluas.
“Graduan dalam bidang sains sosial juga memiliki kemahiran yang relevan dengan keperluan industri seperti menganalisis data, memahami pola sosial dan kemahiran komunikasi yang baik,” jelasnya.
Tambah beliau, ini membolehkan mereka berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, berguna dalam pemasaran, perhubungan awam, dan pengurusan sumber manusia.
“Selain itu, kemahiran berfikir kritis dan menyelesaikan masalah penting dalam perundingan dan pengurusan projek.
“Kepakaran mereka dalam memahami budaya dan masyarakat yang berbeza memberi kelebihan dalam persekitaran kerja yang pelbagai, terutamanya dalam syarikat multinasional atau sektor antarabangsa,” katanya.










