ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri berhasrat mengembangkan sukan golf dari bangku sekolah lagi bagi melahirkan lebih ramai atlet dalam sukan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Hairi Md Shah berkata, inisiatif tersebut antara lain bagi merakyatkan sukan golf sekali gus mengubah stigma masyarakat yang menganggap sukan itu untuk golongan elit sahaja.
Katanya, kerajaan negeri berharap untuk melahirkan lebih ramai atlet berkaliber, mengikut jejak pemain golf wanita nombor 1 dan 2 Malaysia, Kelly Tan dan Alyaa Abdulghany yang merupakan anak jati Johor.
“Sehubungan itu, Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mahu mencungkil bakat pelajar sekolah dengan meletakkan sukan golf ini sebagai kokurikulum teras.
“Program pembangunan sukan ini sudah ada, cuma ia akan diperluaskan lagi bagi menyokong perkembangan sukan golf di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pembukaan Johor Golf Expo 2024 (JGE 2024) di Kelab Golf Senibong, Gelang Patah, dekat sini semalam.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Prasarana Negeri Johor, Datuk Lukman Abu Bakar.
JGE 2024 diadakan buat julung kalinya untuk merakyatkan sukan golf selain menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui kedatangan pelancong asing serta menggalakkan pelaburan dalam industri berkenaan. – UTUSAN










