BEIJING: Tentera China memulakan latihan tembakan menggunakan peluru hidup berhampiran Taiwan hari ini, sejajar dengan arahan Presiden Xi Jinping supaya pasukan tenteranya bersiap sedia menghadapi peperangan.
Pentadbiran Keselamatan Maritim (MSA) berkata, latihan itu bermula pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) dan berlangsung selama empat jam di kawasan seluas kira-kira 150 kilometer persegi.
Pihak berkuasa maritim tidak menyatakan pasukan China mana yang akan melaksanakan latihan tersebut atau objektif aktiviti itu.
Sebagai tindak balas terhadap latihan tersebut, Kementerian Pertahanan Taiwan memaklumkan pihaknya sedang memantau teliti semua aktiviti dan niat tentera China.
Taipei berkata, latihan itu boleh menjadi sebahagian daripada taktik Beijing untuk meningkatkan ugutannya mengenai keselamatan di Selat Taiwan.
Perdana Menteri Taiwan, Cho Jung-tai menyifatkan latihan itu sebagai ancaman yang merosakkan keamanan dan kestabilan serantau.
Parti Komunis China tidak pernah memerintah Taiwan, namun mereka mendakwa pulau tersebut sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan mengancam untuk menggunakan kekerasan bagi membawa Taiwan berada di bawah kawalan mereka.
Pada awal Oktober, China menghantar pesawat dan kapal perang mengelilingi pulau itu, yang menurut Beijing sebagai amaran tegas terhadap tindakan pasukan Kemerdekaan Taiwan.
Semalam, MSA di Pulau Pingtan mengumumkan tembakan senjata akan dilakukan di kawasan terhad berhampiran dengan tanah besar China, kira-kira 105 kilometer dari Taiwan.
Pulau Pingtan merupakan titik terdekat di tanah besar China dengan pulau utama Taiwan.– AFP










