SEBELUM ini budu yang dihasilkan daripada ikan bilis segar yang diperam bersama garam sekitar enam bulan di dalam tong plastik atau tempayan menjadi makanan ‘eksklusif’ penduduk negeri serambi Mekah dan sebahagian Terengganu khususnya di Besut serta Jertih sahaja.
Namun hari ini peminat budu berkembang sehingga bersifat ‘universal’ lebih-lebih lagi apabila Jabatan Warisan Negara Malaysia mengisytiharkan budu sebagai ‘makanan warisan’ kerana digemari semua masyarakat iaitu bangsa Melayu, Cina, India dan kaum lain di negara ini.
Tidak cukup dengan itu ada penggiat seni negeri ini mencipta lagu budu sebagai lambang betapa akrabnya makanan itu dengan mereka, malah masyarakat luar Kelantan dapat menerima lagu tersebut walaupun 100 peratus menggunakan dialek Kelantan.
Lagu dinyanyikan Mat Glamor dan Jali Bunga Tanjong yang popular tahun 2004 itu kembali tular di aplikasi TikTok sekali gus menghangatkan semula promosi makanan tradisi penduduk negeri Cik Siti Wan Kembang.
Mengambil kira andaian dan situasi itu, budu dilihat mampu bertahan dalam tempoh jangka masa panjang berpandukan kepada permintaan semasa yang terus meningkat sehingga membuatkan pengusaha tidak menang tangan memenuhi permintaan.
Budu Cap Ketereh, Selera Kampung, Cap Ayam, Sedap, Bilis dan Raja Budu antara jenama yang kental bersaing dalam pasaran hari ini.
Bagaimanapun, Perusahaan Warisan Ketereh sebagai pemegang cap dagang kepada Budu Cap Ketereh di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, di sini merupakan pengeluar terbesar di negeri ini yang sudah bertahan 45 tahun dalam pasaran.
SEJUTA BOTOL SEBULAN
Setiap bulan, Budu Cap Ketereh diasaskan Allahyarham Mat Ismail Jusoh kira-kira 45 tahun lalu merekodkan pengeluaran kira-kira 1 juta botol bagi menampung permintaan.
Malah, budu menggunakan logo dua biji buah ketereh atau gajus itu bukan sahaja mendapat permintaan tinggi di peringkat domestik malah mampu ‘membelah’ pasaran luar negara.

Berkongsi fakta itu, Mohamad Izuan,38, iaitu seorang daripada tujuh anak Mat Ismail yang mengetuai legasi itu mendedahkan budu keluarannya sudah diterbangkan ke Melbourne, Australia tiga kali setahun.
Katanya, selain itu ada juga pemborong dari Thailand datang membeli secara pukal di kilang untuk dipasarkan di negara Gajah Putih itu. Selain itu, warga Indonesia yang bekerja di sini semakin ramai menggemari keunikan budu sebagai pembuka selera.
“Alhamdulillah, kami mempunyai ramai ejen pemasaran yang aktif di Kedah, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, malah budu Cap Ketereh turut dipasarkan ke Sabah dan Sarawak.
“Boleh dikatakan produk kami sudah meluas ke seluruh negara,” katanya.
BUDU DALAM TIUB
Bagi memastikan budu kekal relevan dalam masyarakat, Mohamad Izuan berkata, arwah ayahnya memperkenalkan satu inovasi baharu iaitu budu dalam tiub berbanding botol sebelum ini.
Katanya, transformasi itu bagi memudahkan pelanggan untuk membawa makanan tersebut ke mana sahaja tanpa risau pencecah itu akan tumpah atau botolnya pecah.
“Alhamdulillah, idea inovasi arwah ayah terus kekal sehingga hari ini sekali gus memastikan jenama Cap Ketereh mampu bersaing dengan pengeluar-pengeluar lain dalam pasaran,” ujarnya.
Mohamad Izuan berkata, inovasi arwah ayahnya itu terus menjadi pembakar semangat buatnya apabila memperkenalkan Budu Cukup Rasa sebagai inovasi baharu.
“Budu ini saya campurkan dengan cili segar yang dikisar serta air limau nipis bagi membangkitkan rasa pedas dan masam.
“Bagi yang menggunakan budu cukup rasa ini mereka tidak perlu lagi mencampurkan cili dan limau nipis ketika menyediakan budu untuk dicicah bersama ulam-ulaman,” katanya.
HALAL
Mohamad Izuan berkata, menyedari status halal mampu mengukuhkan lagi jenama budu Cap Ketereh dia nekad memastikan mengikut semua garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendapatkan pensijilan halal.
Katanya, status halal itu penting bagi memastikan perusahaan budu yang dimulakan ayahnya sejak 1979 terus menjadi pilihan utama pengguna Muslim di negara ini.
“Untuk mendapatkan status halal, Jakim minta saya tukar daripada penggunaan tempayan tanah liat kepada tangki plastik bagi memastikan proses peraman ikan bilis dan garam itu berada dalam keadaan bersih
“Alhamdulillah, pada tahun 2016, tujuh produk budu di bawah jenama Cap Ketereh iaitu budu, budu lada istimewa, selera kampung ori, tiub, pati ikan bilis istimewa, sos bilis dan sos ikan diberikan status halal,” katanya.
BUDU TEMPAYAN SUBUR BERSAING
Di sebaliknya, jenama terkemuka yang gagah membelah pasaran menerusi penggunaan alatan moden, Wan Sapiah Wan Yusoff, 46, dari Pantai Geting nekad mempertahankan keadah tradisional untuk menghasilkan budu menggunakan tempayan yang diperbuat daripada tanah liat.

Menurutnya, penggunaan tempayan itu bertujuan mengekalkan rasa asli budu yang lebih enak berbanding cara moden menggunakan tong-tong plastik.
Ujarnya, lebih menarik ikan bilis segar yang diperam bersama garam hanya mengambil masa selama dua bulan untuk masak.
“Masak membawa maksud ikan bilis yang diperam bersama garam sudah hancur dan bertukar menjadi cecair dipanggil budu,” katanya.
“Ketika ini saya mempunyai 20 biji tempayan dan setiap satunya mampu peram 20 kilogram ikan bilis segar untuk hasilkan budu,” katanya.
Wan Sapiah atau lebih dikenali sebagai Kak Yah Budu Tempayan berkata, dalam tempoh setahun dia memproses budu sebanyak empat kali antara bulan Mei hingga Oktober.
Katanya, hal ini kerana ikan banyak ditangkap oleh nelayan sepanjang tempoh berkenaan.
“Budu saya masih ‘ori’ kerana tidak dicampur dengan gula Melaka. Namun jika membeli di sini, mereka boleh mengubah rasa dengan memproses sendiri di rumah sekiranya mahu meletakkan gula Melaka untuk ada rasa manis,” ceritanya.
GUNA 4 GELEN BUDU SEHARI
Bagi pengusaha kedai makan nasi ulam dan ikan bekok di Pantai Geting di sini Noriah Ghazali, 58, mendedahkan setiap hari dia menggunakan empat galen budu untuk dihidangkan kepada pelanggan.
“Saya gunakan budu yang beratnya sekitar 2 kg untuk satu gelen. Jadi sebulan saya perlukan 120 gelen.
“Kebanyakan pelanggan lebih mengemari budu biasa kerana kurang masin berbanding tempayan sekali gus menepati citarasa selera orang luar Kelantan,” katanya.
BUDU, APA KATA PAKAR
Beberapa kajian menunjukkan budu mempunyai khasiat seperti kandungan bakteria baik atau probiotik yang bagus dan amat baik untuk sistem penghadaman dan sekali gus membantu menaikkan sistem imun badan.
Ketua Pegawai Dietetik Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Nor Elyana Awang bagaimanapun berkata, pengambilan budu perlu dihadkan kerana budu mempunyai kandungan garam yang sangat tinggi.

“Mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023, 29.2 peratus atau satu daripada tiga rakyat dewasa Malaysia mempunyai masalah tekanan darah tinggi dan salah satu penyebab utama adalah disebabkan pengambilan garam yang berlebihan dalam makanan.
“Mengikut saranan, pengambilan garam perlu dihadkan kepada 5 gm sahaja iatu bersamaan dengan 2000 mg sodium sehari. Satu sudu besar budu mengandungi 1032 mg sodium dan ini menjadikan budu antara makanan yang perlu dielakkan oleh penghidap penyakit darah tinggi.
“Budu juga dikatakan menjadi penambah selera, dan boleh menyebabkan seseorang makan nasi berlebihan pada satu-satu masa dan meningkatkan risiko kenaikan berat badan,” ujarnya. – UTUSAN










