KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan akan mencari alternatif lain untuk Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam mendapatkan helikopter baharu bagi tempoh lima tahun akan datang ekoran kemungkinan kontrak perolehan sewaan Black Hawk dibatalkan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tempoh akhir yang diberikan kepada pembekal akan berakhir pada 30 Oktober ini dan kemungkinan kontrak akan terbatal.
“Kita perlu memahami bahawa Black Hawk yang awal itu hanyalah untuk disewa dalam tempoh lima tahun dan bukannya untuk dibeli secara kekal.
“Dalam keadaan kita batalkan itu, saya telah minta pihak TDM untuk mencari alternatif lain kerana ada ‘jurang terhenti’ sementara bagi tempoh lima tahun untuk kegunaan mereka dan itu biar Bahagian Teknikal TDM tentukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau Eksesais Panah Jaguh Siri 2/2024 di Lapang Sasar Bumi ke Udara (LSBU), Tanjung Logok, dekat sini, semalam.
Pada bulan lalu, Mohamed Khaled dilaporkan berkata, kementeriannya memberi tempoh kepada pembekal hingga Oktober ini untuk memenuhi penghantaran empat helikopter Black Hawk.
Dalam pada itu, beliau berkata, laporan penuh insiden kapal KD Pendekar yang tenggelam di Perairan Tanjung Penyusop akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
“Kapal itu sudah pun dikeluarkan dari air dan dibawa ke kawasan yang boleh dibuat kajian mendalam, apa punca dan sebagainya. Tidak lama lagi akan keluarkan laporannya,” katanya lagi.
Sebelum ini Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut berkata, punca dan faktor-faktor terlibat yang menyebabkan insiden tenggelamnya KD Pendekar masih dalam siasatan.
Pada 25 Ogos lalu, KD Pendekar mengalami kebocoran dan tenggelam ketika melaksanakan operasi pada kedudukan dua batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop, dekat sini pukul 12 tengah hari, dipercayai terlanggar objek bawah air.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Malaysia tetap akan menghantar Batalion Malaysia (Malbatt) ke Lubnan meskipun konflik semakin tegang di Asia Barat.
Menurutnya, tarikh tempoh perkhidmatan Malbatt 850-11 yang akan tamat pada 14 November bakal digantikan dengan pasukan baharu bermula 6 November ini.
“Perlu saya peringatkan juga, anggota ini dalam tempoh setahun mereka akan ada atur gerak penggiliran.
“Jadi, kalau kita lihat Malbatt 850-11 ini, tarikh tempohnya hingga 14 November ini, selepas itu bermula 6 November, kita akan atur gerak pasukan baharu,” katanya Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang memintanya menjelaskan apa yang bakal diperoleh Malbatt 850-11 sekiranya mereka gugur di Lubnan atau cedera parah.
Dalam pada itu, Adly berkata, keselamatan anggota-anggota Malbatt 850-11 perlu diambil kira dalam mengambil sebarang tindakan selain tanggungjawab negara dan kewangan.
“Kita tahu segala keputusan atau tanggungjawab atau aset-aset kita adalah di bawah kerjasama dan perbincangan dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan.
“Saya tidak nafikan keperluan untuk tingkatkan lagi kebolehupayaan operasi kita sentiasa dinilai dari masa ke masa berdasarkan perbincangan dengan pihak UNIFIL dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya. – UTUSAN










