PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf dibuat Datuk Seri Najib Razak berhubung salah laku berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“(Saya) terima baik….terima baik (permohonan maaf bekas Perdana Menteri),” katanya ringkas selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman Presint 16, Putrajaya semalam.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.
Dalam kenyataan yang dibacakan oleh anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Permohonan maaf Najib itu datang enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.
Najib memberitahu beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu.
Najib menambah, sepanjang tempoh menjalani hukuman penjara 26 bulan dan susulan pelbagai perkembangan signifikan berkaitan 1MDB, beliau terpanggil untuk membuat kenyataan itu.
Najib kemudian memetik artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Low Taek Jho atau Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat menyelewengkan dana 1MDB.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, permohonan maaf Najib bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya tindakan berjiwa besar.
“Saya meneliti kenyataan media yang dikeluarkan semalam. Saya dapat rasakan kenyataan tersebut dibuat dengan hati terbuka serta ikhlas.
“Kenyataan itu menjelaskan betapa Najib sepanjang menjadi Perdana Menteri, sentiasa memikirkan hanya yang terbaik untuk rakyat tetapi ada pihak yang mengambil kesempatan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang berharap keadilan dapat ditegakkan dan Najib dibebaskan manakala dalang sebenar kes 1MDB diheret ke muka pengadilan.
Peguam Muhammad Rafique Rashid berkata, permohonan maaf itu tidak mempengaruhi keputusan mahkamah yang bakal menentukan nasib Najib.
“Mahkamah mempertimbang keterangan dan kenyataan saksi semasa perbicaraan untuk melihat tertuduh didapati bersalah atau tidak,” ujarnya.










