40 negara kutuk serangan terhadap misi UNIFIL di Lubnan

40 negara kutuk serangan terhadap misi UNIFIL di Lubnan

KENDERAAN berperisai Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) melakukan rondaan di Marjayoun di selatan Lubnan, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebanyak 40 negara yang terlibat dengan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan mengutuk sekeras-kerasnya serangan terbaharu yang menyasarkan pasukan itu.

Dalam kenyataan bersama yang disiarkan Misi PBB Poland di X menegaskan, tindakan sedemikian mesti dihentikan serta-merta dan menggesa siasatan sewajarnya.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh negara-negara penyumbang utama seperti Indonesia, Itali dan India.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beberapa negara lain turut menandatangani kenyataan itu termasuk Ghana, Nepal, Malaysia, Sepanyol, Perancis dan China, yang menyumbang ratusan anggota tentera kepada pasukan tersebut.

Sekurang-kurangnya lima Pasukan Pengaman PBB (UNIFIL) cedera dalam serangan terbaharu Israel terhadap Hezbollah di selatan Lubnan.

UNIFIL menuduh tentera Israel sengaja melepaskan tembakan ke arah kedudukannya.

ADS:D

Menerusi kenyataan sama, 40 negara penyumbang turut menegaskan sokongan penuhnya terhadap misi dan aktiviti UNIFIL, yang bermatlamat membawa kestabilan serta keamanan berkekalan di selatan Lubnan dan Asia Barat.

“Kami menggesa pihak yang terlibat dalam konflik untuk menghormati kehadiran UNIFIL, yang memerlukan jaminan keselamatan anggota misi pada setiap masa,” kata kenyataan tersebut.

UNIFIL, yang melibatkan kira-kira 9,500 tentera dari 50 negara, bertanggungjawab memantau gencatan senjata yang menamatkan perang 33 hari antara Israel dan Hezbollah pada 2006.

Peranan UNIFIL disokong oleh Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701, yang menetapkan hanya tentera Lubnan dan pasukan pengaman PBB perlu ditempatkan di selatan Lubnan.

Pada Sidang Kemuncak Jumaat lalu, Pemimpin Perancis, Itali dan Sepanyol menegaskan serangan terhadap pasukan pengaman UNIFIL mesti ditamatkan kerana melanggar Resolusi 1701.

UNIFIL berkata, dalam beberapa hari kebelakangan ini, markas pasukannya di bandar Naqura berulang kali diserang, termasuk beberapa kedudukan lain.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN