MERSING: Kira-kira 20,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpencen serta tidak berpencen diseru mendaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) agar menerima manfaat skim bantuan yang disediakan kerajaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ini bagi memastikan semua skim bantuan JHEV ATM seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), persekolahan, kemasukan ke institusi pengajian tinggi, peralatan pesakit dan bencana alam dapat disalurkan kepada mereka yang berkelayakan secara teratur serta efektif.
Katanya, setakat ini seramai 213,000 sudah mendaftar dan memperoleh manfaat daripada kerajaan, manakala kebanyakan yang tidak mendaftar terdiri daripada veteran berusia muda yang menganggap tiada keperluan untuk berbuat demikian.
“Kebanyakan yang muda-muda ini lepas bersara dia rasa tiada keperluan untuk mendaftar, tetapi apabila usia sudah meningkat, tahap keperluan-keperluan itu dilihat diperlukan dari segi kesihatan dan kebajikan, baru mereka daftar.
“Jadi, saya harap anggota veteran kita terutamanya kepada balu-balu veteran dan kepada rakyat Malaysia secara umumnya mungkin ahli keluarga, saudara mara dan sebagainya boleh membantu kita untuk mendaftar di Jabatan Veteran,” katanya selepas menyampaikan bantuan ‘chiller’ kepada veteran ATM, pengusaha Restoran Bayu Corner’s, Hasrin Saidin di Kampung Seri Lalang, di sini hari ini.
Hasrin yang berkhidmat selama 25 tahun dalam ATM dan bersara pada 2015 merupakan seorang daripada penerima Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM).
Dalam lawatan ke daerah ini Adly turut menyampaikan bantuan peralatan kepada seorang lagi veteran ATM yang menjalankan perniagaan memproses ayam segar.
Beliau turut menyerahkan sumbangan berupa barang keperluan seperti makanan, susu kesihatan, lampin pakai buang kepada setiap veteran yang diziarahi di sini.
Dalam pada itu Adly berharap, program Peduli Veteran Madani (PVM) akan menjadi medan yang berkesan untuk interaksi secara dua hala antara Kementerian Pertahanan dan veteran ATM dalam usaha membantu kehidupan mereka.
Program itu melibatkan lima fokus utama, iaitu kebajikan, kesihatan, perumahan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi veteran ATM.