KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, menjadi universiti pertama di Malaysia yang menghasilkan manuskrip Melayu koleksi School of Oriental and African Studies (SOAS) University of London secara digital.
Naib Canselor UniSZA, Prof. Datuk Dr. Fadzli Adam berkata, penghasilan manuskrip Melayu secara digital itu telah dibuat oleh UniSZA selepas termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) bersama SOAS University of London pada 10 Mei tahun lepas.
“Setakat ini kerja-kerja deskripsi itu yang memfokuskan kepada isi kandungan manuskrip sedang rancak dijalankan oleh penyelidik.
“Sebanyak 20 manuskrip digital koleksi SOAS telah berjaya menjalani proses deskripsi oleh penyelidik UniSZA setakat ini melalui Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Projek tersebut adalah bagi memenuhi matlamat yang ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) agar UniSZA menjadi Pusat Rujukan Digital Manuskrip Melayu di peringkat nasional dalam tempoh terdekat.
Manuskrip yang dihasilkan dalam bentuk digital akan memberi capaian akses lebih mudah kepada sesiapa sahaja yang mahukan maklumat berkaitan sekali gus memartabatkan kepakaran tenaga pengajar dan penyelidik UniSZA dalam bidang manuskrip dan teknologi maklumat di peringkat antarabangsa.
Mengulas lanjut, beliau berkata, UniSZA akan mendigitalkan kesemua manuskrip Melayu dalam simpanan SOAS dan membantu mereka melakukan proses deskripsi kesemua manuskrip yang telah selesai didigitalkan hasil jalinan kerjasama itu.
“Hasil kerjasama ini, ia dapat dipergiat dan diperluaskan bukan sahaja terhad kepada projek pendigitalan manuskrip, namun turut membuka ruang kerjasama dalam bidang lain terutamanya projek pendigitalan manuskrip Islam dan Melayu yang berada dalam koleksi SOAS,” katanya. – UTUSAN










