MUAR: Sebuah sindiket curi dan khianat kabel milik Telekom Malaysia (TM) tumpas apabila tujuh ahlinya termasuk seorang suspek utama yang memiliki 34 rekod jenayah diberkas pada 5 September lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kesemua suspek berjaya diberkas oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah dan Balai Polis Muar di sebuah bengkel kira-kira pukul 4.30 pagi.
“Pihak polis berjaya menangkap tujuh orang warga tempatan berumur antara 23 sehingga 47 tahun, terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita dipercayai mencuri dan khianat kabel bawah tanah milik TM.
“Hasil semakan mendapati seorang suspek utama mempunyai 34 rekod lampau, iaitu tiga kes curi kabel, 26 kesalahan jenayah dan lima kesalahan dadah. Selain itu, rekod lampau mendapati dua daripada tujuh suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kesalahan curi kabel.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan kegiatan mencuri kabel dengan cara memotong dan menarik keluar kabel dari ‘mainhole’ menggunakan kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Raiz Muhkliz berkata, pihaknya turut merampas beberapa peralatan seperti pemotong kabel, papan tanda, kon, tali yang disyaki digunakan dalam kegiatan curi kabel TM itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 431a Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN