Tujuh bersyahadah rai sambutan Hari Kebangsaan

Tujuh bersyahadah rai sambutan Hari Kebangsaan

Zolkifly Md. Lazim (tengah) bersama enam daripada tujuh saudara baharu yang peluk Islam sempena Hari Kebangsaan ke-67 di George Town, Pulau Pinang. (Dari kiri) Low Kam Yew, Lim Ng Seng, Tan Hoon Seong, Ang Ming Lai, Ang Beng Kooi dan Dennis Yip Jeunn Seng.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di sini agak berlainan bagi tujuh individu berbanding perayaan yang diraikan di kebanyakan negeri-negeri lain.

Tujuh individu berkenaan terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita menjadikan erti kemerdekaan dengan mengucapkan dua kalimah syahadah sebagai pengakuan memeluk Islam.

Mereka ialah Low Kam Yew, 59; Lim Ng Seng, 48; Tan Hoon Seong, 49; Ang Ming Lai, 42; Ang Beng Kooi, 47; Lim Tai Wah, 52, (wanita) dan Dennis Yip Jeunn Seng, 31.

Kesemua mereka mengucapkan dua kalimah syahadah dipimpin Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.

Sebelum itu, Zolkifly memberi penerangan kepada setiap individu mengenai Rukun Islam dan Rukun Iman selain menjelaskan bahawa tidak ada paksaan dalam Islam untuk bersyahadah selain tidak terputus hubungan kekeluargaan dengan ibu bapa masing-masing.

Bagi Kam Yew, dia memeluk Islam setelah yakin itulah cara hidup yang dicari-cari selama ini setelah 14 tahun berhijrah dari Bentong, Pahang ke Pulau Pinang.

“Saya amat teruja untuk peluk Islam apabila melihat semangat orang Islam yang sentiasa membantu orang lain tanpa mengira agama dan kaum. Apabila saya tanya, mereka memberitahu itu adalah salah satu cara hidup yang disuruh Islam.

“Selepas ini saya juga berharap dapat membantu dan menghulurkan pertolongan kepada orang lain yang dalam kesusahan tanpa mengira agama dan kaum,” katanya yang be­kerja sebagai kelindan lori.

Ng Seng yang bekerja sambilan di kedai-kedai kitar semula pula berkata, keputusan dia bersyahadah pada sambutan 31 Ogos merupakan hadiah amat besar sempena Hari Kebangsaan Ke-67.

“Saya yakin dapat keluar daripada kesusahan hidup selama ini. Walaupun hidup susah, saya lihat ramai orang Islam ringan tangan untuk membantu orang lain.

“Malah, tindakan membantu orang lain tidak pula menjadikan seseorang itu bertambah miskin kerana saya diberitahu Allah SWT telah menjanjikan rezeki setiap hamba-Nya yang berada di muka bumi ini,” katanya yang lahir di Sungai Petani, Kedah dan kini berhijrah ke Pulau Pinang.

Bagi Hoon Seong, menghulurkan bantuan kepada orang lain yang bukan sesama agama menjadikan dia teruja untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Selama ini saya fikir saya hidup sudah. Tetapi saya lihat ada orang lain yang lebih susah hidup mereka daripada saya.

“Malah, saya lihat ramai dalam kalangan orang Islam hidup susah, namun mereka tetap menghulurkan bantuan kepada orang lain. Inilah semangat yang benar-benar menjurus saya kepada Islam. Saya juga berhasrat untuk terus menjaga ibu yang sedang terlantar sakit kerana inilah ajaran disuruh Islam,” katanya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat kaki kanan akibat kemalangan jalan raya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN