JOHOR BAHRU: Geng Ah Meng yang aktif memproses dan menjual arak tiruan sejak enam bulan lalu tumpas apabila dua kilang yang dijadikan tempat pemprosesan dan simpanan diserbu pihak polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, serbuan berasingan di Taman Johor dan Taman Kempas Utama kelmarin dan semalam itu melibatkan rampasan bernilai RM1.25 juta serta berjaya memberkas tiga lelaki berusia antara 44 hingga 50 tahun yang merupakan ahli geng tersebut.
“Dalam serbuan pertama, polis berjaya merampas beberapa barangan termasuk 564 kotak arak pelbagai jenama, dua tong plastik, empat unit pam elektrik dan sebungkus pelekat ‘duty paid’ kastam bernilai RM850,000.
“Dalam serbuan kedua, polis berjaya merampas beberapa barangan, antaranya sebuah lori tiga tan, lima kereta, empat mesin penekan botol, 18 bungkusan pelekat botol arak jenama terkemuka dan dua pelekat ‘duty paid’ kastam bernilai RM400,000,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Tampoi, di sini hari ini.
Balveer Singh memberitahu, siasatan awal mendapati sebuah premis dijadikan tempat memproses, manakala sebuah lagi dijadikan tempat simpanan arak-arak tiruan tersebut sebelum dijual ke dalam pasaran tempatan.
“Ujian urin dibuat mendapati kesemuanya negatif penyalahgunaan dadah, namun seorang daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau bersabit kesalahan akta pertaruhan.
“Kita juga telah kenal pasti dua lagi suspek geng ini, dengan salah seorang daripadanya merupakan ketua kumpulan. Kedua-dua lelaki tempatan ini berusia 48 dan 50 tahun,” katanya sambil memberitahu ketiga-tiga suspek kini ditahan eman hingga 9 dan 10 September ini.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976. – UTUSAN