PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiada bandar di dunia ini yang dapat menandingi keindahan dan susunan pembangunan seperti di Putrajaya.
Bekas perdana menteri yang merupakan pemimpin bertanggungjawab mewujudkan bandar pentadbiran itu menzahirkan rasa kagum dan bangga selepas hampir 30 tahun Putrajaya berdiri megah.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada barisan pegawai yang mentadbir Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Malaysia.
“Jalannya dipenuhi dengan tanaman bunga dan pagar yang dihias cantik manakala barisan pokok rendang pula menghiasi jalan raya.
“Taman pula dijaga dengan baik dengan adanya landskap. Pihak pentadbir jelas mempunyai cita rasa yang baik dengan menghargai keindahan.
“Bangunan yang berada di antara jalan (boulevard) tengah itu mengagumkan. Malah medan selera juga dibangunkan dan diselenggara dengan baik,” katanya di platform X.
Idea penubuhan Putrajaya adalah cetusan daripada Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri ke-empat. Asalnya dikenali sebagai Prang Besar.
Kawasan itu dibangunkan menjadi pusat pemerintahan kerajaan pada 12 Oktober 1994, namun aktiviti pembinaan bermula pada 16 April 1995.
Kos pembangunan Putrajaya menelan belanja sebanyak RM20.5 bilion melibatkan kawasan berkeluasan 4,931 hektar sebelum diisytihar sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 2001.
Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan selepas ia ditukarkan dari Kuala Lumpur pada 1999.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, keindahan Putrajaya pasti membanggakan rakyat Malaysia apatah lagi dengan pertumbuhannya yang sangat luar biasa.
Katanya, dari pelancarannya pada 1995, Putrajaya sudah matang namun paling membanggakan rakyat Malaysia ialah keindahan bandar itu.
“Ia benar-benar mencerminkan sebuah bandar dalam taman.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pentadbir Putrajaya kerana anda berjaya melaksanakan satu tugas yang hebat,” katanya.










