JERANTUT: Seorang ibu tunggal di Felda Kota Gelanggi 2 di sini mencipta kelainan apabila menanam padi dalam pasu bukan sahaja sebagai penyeri halaman malah bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 dan Hari Malaysia tahun ini.
Shamsiah Anas, 67, berkata, padi adalah makanan ruji yang membesarkan setiap generasi sejak zaman dahulu dan tanaman itu memberikan makna terhadap kehidupan rakyat sebelum dan selepas merdeka.
“Padi mengembalikan nostalgia semasa saya dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung di negeri Perak yang dikelilingi oleh sawah padi sebelum berkahwin dan berpindah menjadi peneroka di sini.
“Tanaman ini juga bagi menyedapkan mata memandang sebagai terapi kesihatan dan memberikan pendidikan kepada kanak-kanak termasuk cucu saya tentang rupa pokok padi secara realiti yang menghasilkan makanan ruji rakyat sejak turun-temurun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas tentang penanaman padi, Shamsiah berkata, dia mendapat benih daripada rakan sebelum disemai dan ditanam ke dalam 50 buah pasu bunga pada bulan Jun lalu.
“Pokok padi mudah tumbuh di tanah lembut dan berlumpur dan saya tidak menggunakan baja cuma menyiram pada peringkat awal sehingga mula berbuah lebat pada pertengahan bulan Ogos lalu,” katanya.
Shamsiah yang mempunyai empat anak berusia 35 hingga 49 tahun itu berkata, dia bangga melihat tangkai mula mengeluarkan buah yang matang dan akan dituai pertengahan bulan ini.
“Anak-anak jiran termasuk cucu dapat mengenal pokok padi di ‘depan mata’ selain boleh membantu pembelajaran mereka di sekolah yang menggunakan buku teks dan diakses menerusi internet,” katanya.
Dia menambah, tanaman padi tiga bulan itu boleh menambahkan lagi seri landskap halaman rumahnya selain diwarnai pelbagai jenis bunga serta kehijauan daun yang memberikan terapi kesihatan ketika menjenguk pada waktu pagi dan petang.
“Sempena Hari Kebangsaan tahun ini, saya menghiaskan Jalur Gemilang berdekatan pokok padi serta tumbuhan berbunga lain sehingga kelihatan meriah dan patriotik,” katanya.
Katanya, padi yang dituai nanti tidak akan diproses untuk mendapatkan beras sebaliknya akan disimpan sebagai benih untuk ditanam semula di halaman dan juga di kawasan belakang rumah. – UTUSAN










