SEREMBAN: Seremban berada pada kedudukan keenam daerah tertinggi di negara ini terlibat dalam kes penipuan dalam talian berdasarkan jumlah kertas siasatan yang dibuka sejak bulan Januari hingga Ogos tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, daerah Seremban berada di kedudukan tersebut daripada keseluruhan 157 daerah dengan 701 kes direkodkan dalam tempoh tersebut.
“Berdasarkan kajian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, kedudukan Seremban di kedudukan keenam daripada jumlah laporan diterima dan kertas siasatan dibuka melibatkan jenayah penipuan. Daerah Nilai pula berada pada kedudukan ke-15 dengan 434 kes direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Townhall Discussion Cybercrime Threat Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.
Menurut Ahmad Dzaffir, secara keseluruhan, sebanyak 1,710 kes melibatkan penipuan secara dalam talian dilaporkan di negeri ini dengan nilai kerugian direkodkan sebanyak RM 47.1 juta dalam tempoh yang sama tahun ini.
“Pada tahun lalu, sebanyak 2,024 kes penipuan melibatkan kerugian RM40.9 juta direkodkan. Data ini jelas menunjukkan sedikit penurunan iaitu 18.4 peritus namun berlaku peningkatan daripada segi nilai kerugian iaitu sebanyak RM6.2 juta,” katanya.
Beliau berkata lagi, jumlah mangsa juga berkurangan tetapi jumlah kerugian adalah tinggi berkemungkinan suspek menyasarkan mangsa-mangsa yang mempunyai simpanan atau jumlah wang yang banyak.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai berfikiran secara logik dan rasional apabila berhadapan dengan situasi penipuan atas talian bagi mengelakkan diri mereka menjadi mangsa.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan jangan cepat terpengaruh dan terburu-buru dengan apa juga tawaran lumayan di dalam media sosial.
“Sentiasa mengambil tahu prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang berkaitan dengan transaksi atau urusan-urusan bank atau urus niaga atas talian. Pihak berkuasa tidak akan berurusan dalam talian dan ini adalah SOP bagi semua agensi penguat kuasa dalam negara ini,” katanya lagi.-UTUSAN.