ARAU: Hampir 40 peratus pekerja dalam sektor pertanian di Malaysia ketika ini dimonopoli tenaga kerja warga asing berikutan golongan muda tidak berminat mengusahakan bidang berkenaan.
Peratusan tersebut direkodkan pada tahun 2023 dan jika trend tersebut berterusan dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sektor itu dijangka dikuasai sepenuhnya oleh tenaga kerja warga asing.
Ketika ini, golongan yang terlibat dalam sektor pertanian di negara ini adalah tenaga kerja yang 70 peratus melibatkan petani berusia lebih 60 tahun.
Golongan muda yang terlibat dalam sektor itu pula tidak sampai lima peratus daripada jumlah keseluruhan individu di bawah usia belia.
Bagi sektor penternakan, sekitar 15 peratus sahaja usahawan golongan muda khususnya yang terlibat dalam penternakan ayam, lembu, dan kambing.
Dalam sektor perikanan pula khususnya melibatkan nelayan sekitar 10 peratus sahaja golongan muda terlibat dengan bidang itu.
Pensyarah Kanan (Keusahawanan) Jabatan Perniagaan, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Atikah Nor Johari berkata, ketiadaan pelapis dalam sektor pertanian dilihat ketara dengan majoriti petani adalah golongan berumur.
Katanya, senario tersebut dapat dilihat pada tahun 2023, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memerlukan lebih 186,000 tenaga kerja warga asing dalam sektor pertanian di seluruh negara.
Katanya, hal demikian menyaksikan kerajaan perlu atau terpaksa bergantung kepada tenaga kerja warga asing bagi memastikan sektor pertanian dapat beroperasi dengan lancar.
“Apabila situasi ini berlaku, sudah pasti ruang pekerjaan dalam sektor pertanian akan dibanjiri oleh warga asing. Persepsi dan sikap golongan muda yang negatif terhadap bidang penanaman, penternakan dan perikanan secara berterusan akan membuka peluang kepada warga asing untuk bekerja dalam sektor ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Atikah Nor berkata, kesan jangka panjang kepada negara jika golongan muda tidak lagi berminat dengan sektor pertanian terutamanya dalam bidang pekerjaan seperti penanaman, penternakan dan perikanan boleh dilihat daripada tiga aspek iaitu kesan sosial, ekonomi dan kelestarian alam.
Katanya, dalam konteks kesan sosial dijangka berlaku kemerosotan komuniti luar bandar iaitu menyebabkan populasi kawasan luar bandar semakin mengecil kerana ramai yang berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan lain yang dianggap lebih baik.
“Keduanya, akan berlaku ketiadaan generasi pelapis yang diperlukan untuk meneruskan dan mengembangkan usaha pertanian dan kesan kepadakonteks ekonomi pula berkemungkinan berlaku kebergantungan tinggi kepada produk import untuk memenuhi keperluan penduduk,” ujarnya.










